Sabtu, 11 Jun 2022 | 5:46pm
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tewas kepada gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 23-21,14-21,14-21 pada aksi separuh akhir Masters Indonesia di Stadium Istora Senayan, Jakarta. - Foto ihsan BAM.
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tewas kepada gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 23-21,14-21,14-21 pada aksi separuh akhir Masters Indonesia di Stadium Istora Senayan, Jakarta. - Foto ihsan BAM.

Cabaran Pearly-Thinaah di Masters Indonesia berakhir

KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia dalam saingan badminton Masters Indonesia di Jakarta berakhir selepas wakil terakhir negara, Pearly Tan-M Thinaah tewas pada aksi separuh akhir beregu wanita, sebentar tadi.

Pearly-Thinaah terpaksa akur apabila tunduk di tangan pasangan tuan rumah, Apriyani Rahayu - Siti Fadia Silva Ramadhanti 23-21, 14-21, 14-21 dalam aksi di Stadium Istora Senayan.

Sebagai rekod, bekas beregu wanita nombor satu negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei muncul satu-satunya pasangan negara yang berjaya menjuarai kejohanan berkenan ketika melakukannya pada edisi 2011 yang ketika itu bertaraf Grand Prix Emas.

Biarpun gagal ke final, pencapaian Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-10 dunia kali ini tetap sesuatu yang positif apabila ini adalah kali kedua berturut-turut mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik selepas Terbuka Thailand, bulan lalu.

Juara Terbuka Switzerland 2021 bagaimanapun berpeluang untuk menebus kekecewaan kekalahan hari ini apabila mereka beraksi di Terbuka Indonesia yang bermula, Selasa ini.

Aksi final beregu wanita esok bakal menyaksikan pertembungan antara Apriyani-Siti Fadia menentang pasangan China yang juga pilihan pertama, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan bagi gelaran juara Masters Indonesia.

Berita Harian X