PARIS: Novak Djokovic berkata dia sedih melihat bekas jurulatihnya Boris Becker dimasukkan ke penjara susulan kes muflis pada tahun 2017 dan berharap legenda tenis Jerman itu kekal kuat serta sihat.
Juara enam kali Grand Slam Becker dan Djkovic bergabug selama tiga tahun sehingga pada tahun 2017.
Sepanjang tempoh itu mereka memenangi enam gelaran major, termasuk Grand Slam karier apabila Djokovic menjuarai Terbuka Perancis pertamanya pada tahun 2016.
"Ia menyedihkan saya untuk melihat dia melalui semua ini. Boris sentiasa baik kepada saya dan keluarga saya, dan kami mempunyai hubungan akrab serta pencapaian hebat dalam sukan ini sepanjang tempoh itu .
"Saya ada berhubung dengan salah seorang anak lelakinya, Noah, dan bertanya jika ada apa-apa yang boleh saya bantu. Tetapi ia sukar. Saya harap dia kekal sihat dan kuat," kata Djokovic.
Pemain nombor satu dunia, Djokovic berkata dia mahu kembali ke Terbuka Australia tahun depan selepas dihantar pulang dari Melbourne Januari lalu kerana enggan divaksinasi.
Djokovic, juara bertahan di Paris, mara ke pusingan keempat buat tahun ke-13 berturut-turut dengan kemenangan 6-3, 6-3, 6-2 ke atas Aljaz Bedene dari Slovenia.
Pemain Serbia itu, yang belum tewas sebarang set di Roland Garros tahun ini, dijangka akan bertemu juara 13 kali Rafael Nadal di suku akhir sekiranya masing-masing menang di pusingan keempat. - AFP