KUALA LUMPUR: Malaysia menewaskan Jepun 3-1 dalam saingan Kumpulan D aksi Piala Thomas di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi.
Kejayaan itu sekali gus membolehkan Malaysia menggungguli Kumpulan D dan mara ke suku akhir selaku juara manakala Jepun naib juara.
Mata kemenangan skuad negara diperoleh dalam aksi keempat menerusi beregu Aaron Chia-Teo Ee Yi yang menewaskan gandingan Akira Koga-Yuta Watanabe, 22-20, 21-17 dalam masa 50 minit.
Terdahulu skuad negara memperolehi mata pertama menerusi pemain perseorangan, Lee Zii Jia yang menewaskan Kento Momota 21-17, 21-8.
Ia disusuli mata kedua melalui beregu Goh Sze Fei - Nur Izzuddin Rumsani yang mengatasi gandingan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-19, 21-16 dalam tempoh 46 minit.
Jepun memperolehi mata tunggal menerusi kemenangan pemain perseorangan kedua, Kanta Tsuneyama yang menundukkan Liew Daren tewas 21-16, 22-20 dalam masa sejam.
Perlawanan kelima membabitkan acara perseorangan antara wakil negara, Leong Jun Hao dan Kenta Nishimoto sedang berlangsung bagi melengkapkan saingan. Keputusan ini bagaimanapun tidak menjejaskan kemenangan skuad negara ke atas Jepun.