Khamis, 28 April 2022 | 5:00pm
Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. - Foto ihsan FB BAM.
Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. - Foto ihsan FB BAM.

Sze Fei-Nur Izzuddin mara suku akhir di Manila

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Filipina, hari ini selepas menewaskan gandingan Korea Selatan, Kang Minhyuk-Kim Wonho 21-17, 21-17.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang menjuarai Terbuka Jerman bulan lalu menewaskan lawan di ranking ke-52 dunia itu dalam tempoh 33 minit dalam saingan di Kompleks Sukan Muntinlupa, Manila - sekali gus meraih kemenangan sulung dalam pertemuan pertama antara mereka.

Mereka yang juga pilihan kelapan kejohanan, dijadual bertemu pasangan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang yang membuat kejutan menewaskan pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-9, 21-15.

Dalam pada itu, gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut tidak mengecewakan apabila menewaskan wakil tuan rumah, Christian Bernardo-Paul John Pantig 21-7, 21-12 sekali gus mengikut jejak Goh Sze Fei-Nur Izzuddin ke suku akhir.

"Saya rasa kami berdua bermain dengan sangat baik pada hari ini namun perlawanan seterusnya saya jangka lebih sukar," kata Wei Chong. "Saya tidak mahu memikirkan terlalu jauh, namun mahu mengambil perlawanan secara satu demi satu dan melakukan yang terbaik sepanjang berada di sini."

Dalam pada itu, pemain perseorangan profesional lelaki negara, Liew Daren dipaksa bermandi peluh oleh pilihan keempat dari Indonesia, Jonatan Christie sebelum akur dengan kekalahan 4-21, 21-13, 19-21.

Turut tersingkir adalah perseorangan wanita negara, S Kisona yang tewas di tangan pilihan kelima dari China, He Bing Jiao, 18-21, 14-21, manakala beregu wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing ditumpaskan lawan dari negara sama, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 18-21, 16-21.

Dalam aksi beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei terpaksa akur dengan pilihan ketiga, juga dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 9-21, 19-21.

Berita Harian X