Rabu, 27 April 2022 | 8:25pm
Beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing. - Foto ihsan Sport247
Beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing. - Foto ihsan Sport247

Anna-Mei Xing mudah benam beregu India di Manila

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing bakal menempuh laluan berliku apabila dijadual bertemu pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila esok.

Pada aksi pusingan pertama hari ini, Anna-Mei Xing tampak mudah menjinakkan pasangan India Ashiwini, Bhat-Shikha Gautam di Kompleks Sukan Muntinlupa selepas melakar kemenangan 21-19, 21-12.

"Sedikit gementar dalam aksi pusingan pertama kerana angin di gelanggang sangat kuat dan sukar dikawal," kata Mei Xing. "Jadi kami perlu banyak fokus dengan kaki kami bergerak agresif untuk mengejar setiap pukulan supaya kami dapat mengurangkan kesilapan.

"Secara keseluruhan kami agak gembira di atas persembahan hari ini. Esok lawan China memang aksi sukar buat kami. Kami dari ranking bawah cuba bersaing perlahan-lahan dengan pemain ranking lebih tinggi.

"Jadi kami pun tidak terlalu tertekan hanya berikan semua yang kami sudah berlatih sebelum ini. Semua orang ada peluang untuk menang dan kami akan buat yang terbaik dan tidak akan berputus asa."

Sementara itu, pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren juga mencatat kemenangan 8-21, 21-10, 21-15 ke atas lawan dari Korea Selatan, Heo Kwanghee dan dijadual bertemu pilihan keempat dari Indonesia, Jonatan Christrie, esok.

"Saya agak bergelut dalam aksi set pertama. Angin di sebelah gelanggang saya terlalu kuat, titik kebangkitan saya bukan di set kedua tapi selepas 11 mata di set penentuan. Esok aksi getir buat saya apabila berdepan Jonatan Christie (Indonesia). Dia beraksi dengan baik sejak akhir-akhir ini," kata Daren.

Berita Harian X