KUALA LUMPUR: Jika enam tahun lalu kelibatnya sekadar memanaskan bangku simpanan, namun kali ini Ong Yew Sin mahu memastikan penampilannya dalam saingan Piala Thomas mampu menghadirkan impak positif buat pasukan kebangsaan.
Dia yang bergandingan bersama Teo Ee Yi dipanggil bagi memperkuatkan cabaran skuad negara menghadapi Piala Thomas di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei ini.
"Kali pertama saya disenaraikan dalam pasukan Piala Thomas (pada 2016), saya tidak diturunkan kerana ketika itu kita ada dua pasangan berpengalaman iaitu Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
"Ketika itu memang saya dengan Ee Yi cuba ambil pengalaman merasai suasana sebenar saingan Piala Thomas. Namun, kali ini saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab untuk pasukan.
"Sudah pasti ada tekanan…tekanan dalam kejohanan berpasukan dan individu adalah berbeza. Namun, saya tidak mahu terlalu fikir sangat mengenai perkara itu kerana ia dibimbangkan akan menjejaskan fokus kami," katanya.
Pada edisi 2016 di Kunshan, China, Yew Sin-Ee Yi disenaraikan sebagai beregu simpanan yang menyaksikan Malaysia ketika itu terkandas di separuh akhir selepas tewas di tangan Denmark 2-3.
Dua tahun kemudian, hanya Ee Yi disenaraikan dalam pasukan kebangsaan menghadapi saingan Piala Thomas 2018 di Bangkok manakala Yew Sin diketepikan kerana bergelut dengan prestasi tidak menentu.
Bagaimanapun, kali ini dengan status sebagai pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021, gandingan Yew Sin-Ee Yi yang bergerak secara profesional selepas meninggalkan skuad kebangsaan pada 2020 akan menggalas tanggungjawab sebagai beregu kedua di belakang Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Ujian pertama buat pasangan ranking ke-11 dunia itu dijangka hadir apabila bertemu pasangan Jepun, Taichi Saito-Akira Koga dalam saingan peringkat kumpulan.
"Kalau ikut ranking, memang kami lebih tinggi berbanding Saito-Koga (ke-23) tetapi dalam saingan beregu lelaki, tidak boleh cakap ranking tinggi pasti menang.
"Semua beregu pun ada peluang menang. Kalau kita tengok beregu Indonesia (Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana) ranking ke-20 pun boleh jadi juara Seluruh England. Jadi, tidak banyak sebenarnya kelebihan dalam acara beregu lelaki," katanya.
Selain Jepun, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D untuk saingan Piala Thomas tahun ini turut akan bertemu England dan New Zealand.
Kali terakhir skuad badminton kebangsaan muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 yang berlangsung di Kuala Lumpur.