Sabtu, 16 April 2022 | 6:40pm
Gambar fail - Pengarah Kejurulatihan (beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.
Gambar fail - Pengarah Kejurulatihan (beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.

BAC jadi medan pemanas terbaik Piala Thomas negara

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky percaya Kejohanan Badminton Asia (BAC) sebagai aksi pemanas badan terbaik buat barisan pemain beregu negara sebelum menghadapi Piala Thomas.

Jurulatih dari Indonesia itu berkata dengan kehadiran semua pemain utama di Asia, pemain negara berpeluang menilai tahap prestasi semasa mereka sebelum menghadapi Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, pada 8 hingga 15 Mei.

Saingan BAC pula akan berlangsung di Manila, Filipina bermula 26 April hingga 1 Mei.

"Sebelum ini, memang BAC tiada dalam perancangan kita dan kita sudah merancang untuk mengadakan kem latihan pusat bermula 24 April hingga 1 Mei. Namun, sebaik pulang dari Seluruh England, baru kita tahu BAC akan diadakan.

"Jadi, dengan adanya BAC ia akan menjadi sebahagian daripada persiapan pasukan kita sebelum Piala Thomas. Dengan kejohanan ini bertaraf Super 1000 dan semua pasukan menyenaraikan pemain terkuat mereka, ia adalah persiapan terbaik sebelum ke Bangkok," kata Rexy.

Pada saingan BAC kali ini, cabaran Malaysia akan dalam acara beregu lelaki akan digalas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; juara Terbuka Jerman, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; Tee Kai Wun-Man Wei Chong dan pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kelima akan membuka tirai aksi menentang beregu China, He Ji Ting-Zhou Hou Dong manakala Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pasangan Filipina, Solomon Jr Padiz-Julius Villabrille.

Ee Yi-Yew Sin pula diundi berdepan pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Yeung Ming Nok sementara Kai Wun-Wei Chong menentang Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn dari Thailand.

Bagaimanapun, hanya Aaron-Wooi Yik, Izzuddin-Sze Fei dan Ee Yi-Yew Sin yang disenaraikan dalam saingan Piala Thomas manakala Kai Wun-Wei Chong menjadi sandaran skuad badminton negara untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Sementara itu, Rexy memberitahu pihaknya sudah mengatur strategi termasuk merencana program latihan bagi para pemain yang tersingkir awal di Manila bagi memastikan mereka tetap bersedia menghadapi saingan Piala Thomas di Bangkok.

Berita Harian X