Rabu, 13 April 2022 | 6:17pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP

25 pemain dipanggil sertai kem latihan Piala Thomas/Uber

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memanggil 25 pemain bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan untuk menghadapi saingan Piala Thomas/Uber 2022 di Bangkok yang akan berlangsung pada 8 hingga 15 Mei ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan BAM, seramai tujuh pemain perseorangan lelaki disenaraikan untuk latihan pusat berkenaan diketuai perseorangan profesional yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia, Lee Zii Jia.

BAM turut menyenaraikan pemain berpengalaman yang berstatus profesional, Liew Daren.

"Seramai 24 pemain (jumlah maksimum 12 pemain lelaki dan 12 wanita) akan berlepas ke Bangkok pada 5 Mei nanti.

"22 April adalah tarikh akhir untuk menghantar senarai pemain kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF)," kata kenyataan dikeluarkan BAM.

Sementara itu, bagi skuad Piala Uber pula, pemain perseorangan profesional yang menunjukkan peningkatan di Terbuka Korea, Goh Jin Wei turut dipanggil menyertai kem latihan pusat berkenaan.

Bagi Piala Thomas, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama juara 2014, Jepun, England dan New Zealand, manakala Piala Uber pula menyaksikan pasukan wanita diletakkan di Kumpulan C yang dibarisi Thailand, Denmark dan Mesir.

Senarai pemain:

Piala Thomas - Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Ong Ken Yon, Liew Daren, Shaqeem Eiman, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Sze Fei, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.

Piala Uber - S Kisona, Eoon Qi Xuan, Myisha Khairul, Tan Zhing Yi, Goh Jin Wei, Chan Wei Tse, Pearly Tan, M Thinaah, Anna Cheong, Teoh Mei Xing, Low Yeen Yuan dan Valeree Siow.

Berita Harian X