Ahad, 10 April 2022 | 1:06pm
Rachel-Sivasangari (kanan) ketika di podium selepas meraih gangsa.
Rachel-Sivasangari (kanan) ketika di podium selepas meraih gangsa.

Rachel-Sivasangari raih gangsa Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR: Beregu negara Rachel Arnold-S Sivasangari terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa Kejohanan Skuasy Beregu Dunia WSF yang berakhir di Glasgow, Scotland semalam.

Rachel-Sivasangari terpaksa akur dengan pingat itu selepas tewas kepada gandingan England, Sarah Jane Perry-Alison Waters 9-11, 11-6, 3-11 pada aksi separuh akhir.

Apapun, kejayaan meraih gangsa itu tentunya menjadi pendorong terbaik Rachel-Sivasangari dalam persediaan mereka menghadapi temasya Sukan Asia Hangzhou September depan.

Malah, mereka perlu bekerja keras meningkatkan prestasi apabila pingat emas kejohanan itu dimenangi beregu India, Joshna Chinappa-Dipika Pallikal Karthik yang akan turut beraksi di Hangzou.

Joshna-Dipika mengejutkan Perry-Waters 11-9, 4-11, 11-8 di final.

Chinappa seperti dipetik dalam website wsfworlddoubles.com berkata: "Saya berasa hebat. Selepas kami tewas kepada mereka beberapa hari lalu, kami memasuki gelanggang dengan strategi tepat.

"Mujur, saya mempunyai seorang rakan gandingan yang sangat kuat, jadi ia banyak membantu saya untuk beraksi di gelanggang."

Kejayaan itu turut menyaksikan sejarah tercipta buat India apabila meraih pingat emas pertama mereka di kejohanan itu.

Malah India turut meraih emas dalam acara beregu campuran menerusi Saurav Ghosal-Karthik.

Gandingan itu menewaskan beregu England, Adrian Waller-Alison Waters 11-6, 11-8 dalam tempoh 22 minit.

Berita Harian X