Selasa, 5 April 2022 | 5:59pm
Gambar fail - Datuk Misbun Sidek (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Lee Zia Jia dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto ihsan Sports247.
Gambar fail - Datuk Misbun Sidek (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Lee Zia Jia dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto ihsan Sports247.

Badminton hanya sasar satu emas di Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Jika edisi terakhir tiga tahun lalu menyaksikan tiga pingat emas berjaya dibawa pulang, namun kali ini skuad badminton kebangsaan hanya meletakan sasaran memenangi satu emas pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Pengurus pasukan, Datuk Misbun Sidek, berkata sandaran bagi merealisasikan sasaran berkenaan diletakkan di atas bahu barisan pemain lelaki tidak kira apa acara sekalipun.

"Saya lihat, ini adalah masanya untuk kita ke ketengahkan pemain muda seperti Justin Hoh, Siti Nurshuhaini Azman dan Ong Xin Yee agar mereka dapat menimba pengalaman dan menjadi lebih berani. Ini penting supaya pada masa depan ada pemain pelapis yang boleh menggalas cabaran Malaysia.

"Kalau dulu kita dapat tiga emas, kita harap kali ini pemain lelaki dapat memenangi satu emas. Itu adalah sasaran yang sudah ditetapkan," katanya yang juga Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Pada edisi 2019 di Manila, skuad badminton negara melakar pencapaian terbaik selepas tempoh 44 tahun apabila membawa pulang tiga emas, dua perak dan lima gangsa.

Tiga emas itu disumbangkan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Bagi skuad lelaki kali ini, Malaysia menyenaraikan 10 pemain membabitkan acara perseorangan, beregu dan beregu campuran iaitu Lim Chong King, Lee Shun Yang, Kok Jing Hong dan Justin, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Haikal Nazri, Wan Arif Junaidi, Hoo Pang Ron dan Chen Tang Jie.

Skuad wanita pula dibarisi Siti Nurshuhaini, Loh Zhi Wei, Xing Yee, Siti Zulaikha Azmi, Yap Ling, Go Pei Kee, Cheng Su Yin, Cheng Su Hui, Cheah Yee See dan Peck Yen Wei.

Selain acara individu, Malaysia juga akan menyertai saingan berpasukan lelaki dan wanita pada Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung bermula 12 hingga 23 Mei.

Berita Harian X