Khamis, 17 March 2022 | 9:33pm
Beregu wanita negara, Pearly Tan (kanan) dan M Thinaah menewaskan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 18-21, 21-19, 21-16 dalam aksi pusingan kedua badminton Seluruh England di Utilita Arena Birmingham, United Kingdom. - Foto ihsan FB BAM.
Beregu wanita negara, Pearly Tan (kanan) dan M Thinaah menewaskan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 18-21, 21-19, 21-16 dalam aksi pusingan kedua badminton Seluruh England di Utilita Arena Birmingham, United Kingdom. - Foto ihsan FB BAM.

Pearly-Thinaah mara suku akhir badminton Seluruh England

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengulangi pencapaian tahun lalu selepas mengesahkan tempat ke suku akhir Seluruh England, sebentar tadi.

Bagaimanapun, pasangan ranking ke-15 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 18-21, 21-19, 21-16 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham.

Pearly-Thinaah yang juga juara Terbuka Switzerland 2021 akan bertemu pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong bagi merebut tiket ke separuh akhir, esok.

Pada penampilan pertama mereka di Seluruh England tahun lalu, Pearly-Thinaah turut mara sehingga suku akhir sebelum tewas di tangan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun 12-21, 22-20, 16-21.

Sementara itu, perjuangan beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin di Birmingham kali ini berakhir selepas tewas di tangan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 22-24, 21-13, 21-17.

Tahun lalu, mereka turut tersingkir di pusingan kedua selepas tunduk kepada Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe dari Jepun.

Berita Harian X