Khamis, 17 March 2022 | 10:17am
Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menewaskan pemain Jepun Kenta Nishimito 21-16, 21-17 pada pusingan pertama Seluruh England di Utilita Arena Birmingham. - Foto AFP
Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menewaskan pemain Jepun Kenta Nishimito 21-16, 21-17 pada pusingan pertama Seluruh England di Utilita Arena Birmingham. - Foto AFP

Zii Jia mula misi pertahan gelaran Seluruh England

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memulakan misi mempertahankan kejuaraannya di Seluruh England dengan langkah kanan apabila mengesahkan tempat ke pusingan kedua, awal pagi tadi.

Pemain nombor tujuh dunia itu mengambil masa 43 minit bagi menewaskan pemain Jepun Kenta Nishimito 21-16, 21-17 dalam aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham.

"Saya sangat teruja apabila dapat beraksi semula dalam saingan Seluruh England. Saya tidak mahu terlalu mahu memikirkan mengenai status saya sebagai juara bertahan sebaliknya saya hanya mahu menikmati perlawanan dan buat yang terbaik.

"Saya menikmati perlawanan saya hari ini (menentang Nishimoto) dan cuba untuk mengelak daripada melakukan kesilapan mudah," kata Zii Jia yang akan membuat perhitungan dengan pemain Kanada, Brian Yang bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut melangkah ke kelompok 16 terbaik selepas menundukkan pasangan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley 21-14, 21-19.

Naib juara Seluruh England 2019 itu yang tampil sebagai pilihan keempat akan bertemu pasangan China, He Ji Ting-Tan Qiang untuk aksi pusingan kedua.

Dalam saingan beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See menewaskan Venkat Gaurav-Juhi Dewangan dari India 21-9, 21-13 manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menundukkan Adnan Maulana-Mychelle Crhystine dari Indonesia 21-14, 13-21, 21-16.

Pang Ron-Yee See akan bertemu pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva manakala Kian Meng-Pei Jing berdepan Supak Jomkoh-Supissara Paesampran dari Thailand.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi dua lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Berita Harian X