Khamis, 17 March 2022 | 8:05am
Beregu lelaki negara Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei tersingkir di pusingan pertama Seluruh England. - Foto Ihsan BWF
Beregu lelaki negara Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei tersingkir di pusingan pertama Seluruh England. - Foto Ihsan BWF

Juara Terbuka Jerman langkah kiri di Birmingham

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang menjuarai Terbuka Jerman, Ahad lalu gagal mengekalkan momentum kecemerlangan mereka apabila tersingkir di pusingan pertama Seluruh England, awal pagi tadi.

Pasangan ranking ke-17 dunia itu terpaksa akur apabila tewas di tangan beregu China, He Ji Ting-Tan Qiang 15-21, 21-19, 11-21 dalam aksi yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham.

Izzuddin-Sze Fei sebelum ini mencipta sensasi apabila merangkul gelaran pertama dalam Jelajah Dunia BWF dengan menjuarai Terbuka Jerman selepas menundukkan pasangan China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi 23-21, 16-21, 21-14 dalam aksi final, Ahad lalu.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun hampir mengejutkan juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi apabila memberikan tentangan sengit sehingga mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum terpaksa akur tewas 17-21, 21-18, 21-23.

Terdahulu, pemain perseorangan lelaki profesional, Liew Daren mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Toma Junior Popov dari Perancis 21-15, 21-19 dan akan bertemu pilihan keempat kejohanan dari Taiwan, Chou Tien Chen bagi merebut tiket ke suku akhir.

Beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi cabaran pasangan England, Callum Hemming-Steven Stallwood dari England 21-14, 21-12 dan akan membuat perhitungan dengan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah turut tidak berdepan masalah mengesahkan tempat ke kelompok 16 terbaik selepas menundukkan Jaqueline Lima-Samia Lima dari Brazil 21-8, 21-12 dan akan bertemu pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Dalam saingan beregu campuran menyaksikan pasangan profesional negara, Yew Sin-Goh Liu Ying dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas Callum Hemming-Jessica Pugh dari England 17-21, 21-17.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi dua wakil negara iaitu beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Tan Kian Meng dan beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien apabila terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Berita Harian X