Khamis, 10 March 2022 | 4:07pm
Liu Ying akui Yew Sin (kiri) perlukan masa untuk sesuaikan diri bermain dalam acara beregu campuran.
Liu Ying akui Yew Sin (kiri) perlukan masa untuk sesuaikan diri bermain dalam acara beregu campuran.

Liu Ying pertahan Yew Sin

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran profesional, Goh Liu Ying memberitahu gandingan baharunya, Ong Yew Sin masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri beraksi dalam acara itu selepas mereka tewas di pusingan pertama Terbuka Jerman, kelmarin.

Yew Sin-Liu Ying yang membuat penampilan pertama sebagai pasangan sejak mengumumkan gandingan mereka bulan lalu terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan Scotland, Adam Hall-Julie Macpherson 16-21, 13-21 sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.

Bagi Liu Ying, kekalahan itu bagaimanapun bukanlah satu masalah besar dan percaya Yew Sin secara berperingkat akan menyesuaikan diri beraksi dalam acara beregu campuran.

"Dia (Yew Sin) masih belum biasa dengan rentak permainan beregu campuran. Kali terakhir dia bermain dalam acara ini ketika peringkat remaja.

"Jadi, dia perlukan masa untuk menyesuaikan diri semula. Ini adalah perkara biasa, saya percaya dia akan semakin selesa apabila kami beraksi dalam kejohanan seterusnya nanti," kata Liu Ying.

Pada Disember lalu, Liu Ying mengumumkan perpisahannya dengan Chan Peng Soon selepas 13 tahun bergandingan dengan pencapaian terbaik mereka adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Dia kemudiannya membentuk gandingan dengan Yew Sin yang turut beraksi dalam acara beregu lelaki ketika ini bersama Teo Ee Yi.

Yew Sin-Liu Ying menetapkan sasaran untuk mereka layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, mengulas mengenai aksi di Seluruh England yang akan bermula Selasa ini, Liu Ying berharap dia dan Yew Sin dapat mempamerkan prestasi yang lebih baik berbanding Terbuka Jerman.

"Kami tidak mahu terlalu beri tekanan kerana seperti yang saya katakan Yew Sin perlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam acara beregu campuran. Kami berharap dapat beraksi lebih baik di Seluruh England nanti," katanya.

Yew Sin-Liu Ying akan membuka tirai saingan di Birmingham menentang pasangan tuan rumah, Callum Hemming-Jessica Pugh pada pusingan pertama.

Berita Harian X