Ahad, 6 March 2022 | 9:04pm
Yew Sin (kanan) menjadi rakan gandingan baharu Liu Ying. - Foto Instagram Goh Liu Ying
Yew Sin (kanan) menjadi rakan gandingan baharu Liu Ying. - Foto Instagram Goh Liu Ying

Yew Sin sasar cipta sejarah di Paris

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin memasang impian besar dengan menetapkan sasaran untuk menjadi pemain pertama Malaysia layak beraksi dalam dua acara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketika ini, Yew Sin bergandingan bersama Teo Ee Yi dalam acara beregu lelaki, manakala dia baru saja membentuk gandingan dengan Goh Liu Ying bagi acara beregu campuran, bulan lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu, berkata fokus utamanya ketika ini adalah bagi mengukuhkan kombinasinya dengan Liu Ying.

"Kalau saya dapat memberi persembahan yang bagus dan meraih keputusan memberangsangkan dalam dua acara, semestinya menjadi harapan saya untuk cuba meraih dua tiket ke Paris.

"Namun, gandingan saya dengan Liu Ying masih berada di peringkat awal. Keutamaan saya masih pada acara beregu lelaki bersama Ee Yi," katanya.

Yew Sin-Liu Ying akan memulakan aksi mereka musim ini dengan beraksi dalam tiga kejohanan berturut-turut bermula Terbuka Jerman Super (8 hingga 13 Mac), Seluruh England (16-20 Mac) dan Terbuka Switzerland (22 hingga 27 Mac).

Sebagai rekod, gandingan Yew Sin-Ee Yi yang berada di kedudukan ranking ke-11 dunia masih belum pernah layak beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Bagaimanapun, sejak digugurkan daripada skuad kebangsaan pada 2020, Yew Sin-Ee Yi berjaya menunjukkan peningkatan prestasi yang positif termasuklah kejayaan memenangi pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol, Disember lalu.

Berita Harian X