Sabtu, 5 March 2022 | 8:15pm
Syarikat peralatan sukan, Li Ning melanjutkan kontrak tajaan selama dua tahun dengan Goh Liu Ying (tengah) dan beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
Syarikat peralatan sukan, Li Ning melanjutkan kontrak tajaan selama dua tahun dengan Goh Liu Ying (tengah) dan beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Liu Ying sasar samai rekod Chong Wei

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran profesional, Goh Liu Ying memasang impian untuk menyamai rekod legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dengan beraksi di pentas Sukan Olimpik buat kali keempat di Paris pada 2024.

Liu Ying, 33, adalah pemain wanita negara yang paling banyak beraksi di temasya terbesar dunia itu setakat ini menerusi penampilan di Olimpik London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Ketiga-tiga temasya itu menyaksikan dia bergandingan bersama Chan Peng Soon dengan pencapaian terbaik mereka adalah memenangi pingat perak di Rio de Janeiro.

Kini, Liu Ying yang bergandingan bersama Ong Yew Sin selepas mengumumkan perpisahan dengan Peng Soon pada Disember lalu, tekad untuk melayakkan diri sekali lagi bagi beraksi di Paris yang mungkin menjadi penampilan terakhirnya.

Liu Ying yang berasal dari Melaka mendapat tonik terbaik bagi merealisasikan impian berkenaan selepas kontrak dia dan Yew Sin bersama syarikat peralatan sukan dari China, Li Ning dilanjutkan selama dua tahun lagi.

"Sudah tentu saya ingin dan akan cuba sedaya upaya untuk layak ke temasya Paris. Namun, segalanya bergantung kepada keadaan saya pada masa akan datang.

"Saya amat berterima kasih kepada Li-Ning di atas kesudian mereka untuk terus menyokong kerjaya profesional saya. Sejak saya menjadi pemain profesional, Li-Ning adalah tulang belakang di sebalik kejayaan yang saya kecapi.

"Saya akan terus buat yang terbaik untuk membalas kepercayaan mereka," katanya Liu Ying.

Yew Sin-Liu Ying akan memulakan aksi mereka musim ini dengan beraksi dalam tiga kejohanan berturut-turut bermula Terbuka Jerman Super (8 hingga 13 Mac), Seluruh England (16-20 Mac) dan Terbuka Switzerland (22 hingga 27 Mac).

Berita Harian X