Sabtu, 5 March 2022 | 8:00pm
Aksi pemain perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman ketika menentang pemain India pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, bulan lalu. Siti Nurshuhaini adalah antara sandaran negara pada Sukan SEA Vietnam. - Foto NSTP/Aswadi Alias.
Aksi pemain perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman ketika menentang pemain India pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, bulan lalu. Siti Nurshuhaini adalah antara sandaran negara pada Sukan SEA Vietnam. - Foto NSTP/Aswadi Alias.

BAM optimis kekuatan barisan muda ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap barisan pemain muda yang disenaraikan bagi menggalas cabaran negara di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, pada Mei ini memanfaatkan peluang yang diberi bagi membuktikan kemampuan masing-masing.

Pengarah Kejurulatihan (perseorangan) BAM, Wong Choong Hann, berkata peluang yang diberi itu bukan sekadar untuk pendedahan sebaliknya pemain perlu cuba untuk bersaing bagi memburu pingat di temasya dwitahunan berkenaan.

"Kami merasakan pemain muda ini seharusnya diberikan platform untuk membawa cabaran negara. Pemain dalam acara perseorangan lelaki dan wanita khususnya perlu mengambil kesempatan ini bagi mempamerkan kemampuan untuk sekurang-kurangnya meraih pingat.

"Walapun mereka akan berdepan dengan lawan yang lebih kuat dari negara lain, namun kami percaya dengan persiapan yang sudah dilakukan sejak tahun lalu, pemain kita mampu memberikan persaingan," kata Choong Hann.

Bagi skuad lelaki, Malaysia menyenaraikan 10 pemain membabitkan acara perseorangan, beregu dan beregu campuran iaitu Lim Chong King, Lee Shun Yang, Kok Jing Hong dan Justin Hoh, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Haikal Nazri, Wan Arif Junaidi, Hoo Pang Ron dan Chen Tang Jie.

Skuad wanita pula dibarisi Siti Nurshuhaini Azman, Loh Zhi Wei, Ong Xing Yee, Siti Zulaikha Azmi, Yap Ling, Go Pei Kee, Cheng Su Yin, Cheng Su Hui, Cheah Yee See dan Peck Yen Wei.

Selain acara individu, Malaysia juga akan menyertai saingan berpasukan lelaki dan wanita pada Sukan SEA Vietnam yang akan berlangsung bermula 12 hingga 23 Mei.

Pada edisi 2019 di Manila, skuad badminton negara melakar pencapaian terbaik selepas tempoh 44 tahun apabila membawa pulang tiga emas, dua perak dan lima gangsa.

Tiga emas itu disumbangkan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ditanya mengenai peluang Malaysia bagi mempertahankan tiga emas yang dimenangi tiga tahun lalu, Choong Hann, berkata: "Setiap acara cabarannya berbeza tetapi saya fikir kita mempunyai peluang yang tinggi untuk meraih emas dalam acara beregu lelaki dan campuran," katanya.

Berita Harian X