SHAH ALAM: Juara dunia, Loh Kean Yew enggan dirinya dihantui tekanan yang tidak diperlukan biarpun sedar pertemuannya dengan Lee Zii Jia dalam aksi membabitkan Malaysia dengan Singapura, esok akan menjadi tumpuan.
Pemain ranking ke-12 dunia itu, berkata walaupun dia turut teruja untuk membuat perhitungan dengan Zii Jia, namun aksi Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 itu bukan mengenai dirinya seorang, sebaliknya ia memerlukan usaha seluruh pasukan bagi mengatasi Malaysia.
"Saya berada di sini bersama pasukan, sudah lama saya tidak beraksi dalam kejohanan berpasukan. Jadi, saya agak teruja untuk memulakan cabaran kali ini.
"Saya tahu semua orang bercakap mengenai pertemuan saya dengan Zii Jia dan saya akui turut teruja namun saya di sini dengan pasukan dan setiap mata adalah penting. Ia memerlukan usaha seluruh pasukan untuk memenangi perlawanan," katanya.
Kean Yew, 25, yang berpindah dari Pulau Pinang ke Singapura pada usia 13 tahun turut menafikan dakwaan mengatakan kejayaannya muncul juara dunia, Disember lalu adalah disebabkan faktor menjalani latihan bersama juara Olimpik dan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
"Tiada apa yang istimewa, saya hanya menjalani latihan seperti biasa sebagai persiapan menghadapi mana-mana kejohanan.
"Bagaimanapun, ini adalah kali pertama saya bermain dalam kejohanan yang memerlukan kuarantin terlebih dahulu dan ia bukan sesuatu yang bagus tetapi saya tetap akan cuba melakukan yang terbaik.
"Saya tahu ramai meletakkan harapan tinggi kepada saya disebabkan saya juara dunia tetapi saya masih orang saya sama.
"Saya perlu bermula daripada kosong, ini semua adalah tekanan yang tidak diperlukan. Saya akan melakukan yang terbaik dan berharap kami dapat melepasi peringkat kumpulan," katanya.
Jadual Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022
Esok
Wanita
Kumpulan Z
Korea Selatan mln Hong Kong, 10 pagi
Indonesia mln Kazakhstan, 10 pagi
Kumpulan Y
Malaysia mln India, 4 petang
Lelaki
Kumpulan B
Malaysia mln Singapura, 4 petang
Jepun mln Kazakhstan, 4 petang