KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menganggap dirinya gagal jika Malaysia tidak berjaya untuk sekurang-kurangnya melangkah ke final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang bermula Selasa ini.
Juara Seluruh England 2021 itu berkata dengan kebanyakkan negara menyenaraikan pasukan kedua pada kejohanan kali ini berbanding Malaysia yang menghantar pasukan terkuat, dia melihat tiada sebab untuk skuad negara tidak mara sehingga pentas final.
"Bukan saya mahu beri tekanan kepada diri sendiri atau pasukan, tetapi semua orang pun tahu kebanyakkan negara yang menyertai kejohanan ini menyenaraikan pasukan kedua mereka.
"Sudah pasti kalau boleh kami mahu jadi juara atau paling tidak pun mara sehingga final. Jika tidak dapat ke final, saya anggap ia satu kegagalan untuk diri saya sendiri dan pasukan.
"Berdasarkan senarai pemain kita, boleh cakap kita pasukan yang kuat berdasarkan kedudukan ranking. Hong Kong pun boleh cakap kuat kerana mereka ada dua tiga pemain utama. Jadi, kita tengok nanti," kata pemain nombor tujuh dunia itu.
Zii Jia ditemui sejurus kembali semula berlatih buat kali pertama di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini, selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bulan lalu.
Selain Zii Jia, skuad negara turut menyenaraikan lima lagi pemain perseorangan lelaki bagi saingan BATC iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong.
Dalam acara beregu, Malaysia akan diperkuatkan dengan kehadiran pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi taruhan utama pasukan negara selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Sebagai rekod, edisi BATC 2020 di Filipina menyaksikan skuad lelaki negara berjaya mara ke final sebelum tunduk di tangan Indonesia 1-3.
Pada saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir sekali gus menempah tiket automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, pada Mei ini.
Dalam pada itu, mengulas pertembungan 'blockbuster' antara dia dengan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew dalam saingan peringkat kumpulan, Zii Jia, berkata dia sudah bersedia dan menyifatkan pertemuan itu cukup penting untuk kedua-dua pemain.
"Sudah pasti ia perlawan yang cukup penting untuk saya dan Kean Yew kerana dia pun pastinya mahu menjaga reputasinya selepas muncul juara dunia (Disember tahun lalu).
"Seperti yang saya pernah cakap sebelum ini, apabila saya keluar (daripada BAM), cabaran cukup besar, saya perlu bersedia dan ambil tanggungjawab ini," katanya.