Ahad, 6 Februari 2022 | 1:25pm
Sivasangari (depan) tewas di separuh akhir Cincinnati Gaynor Cup 2022.
Sivasangari (depan) tewas di separuh akhir Cincinnati Gaynor Cup 2022.

Sivasangari terkandas di separuh akhir

KUALA LUMPUR: Hajat pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari melakar kejutan mara ke final Cincinnati Gaynor Cup 2022 di Ohio, Amerika Syarikat tidak kesampaian.

Wakil negara itu tewas dalam aksi mendebarkan di tangan pilihan kelima yang juga pemain ranking ke-11 dunia dari Amerika Syarikat, Olivia Fiechter 11-4, 3-11, 11-6, 16-18, 9-11 pada aksi Cincinnati Country Club itu.

"Dia bermain dengan baik sejak kebelakangan ini, jadi ia menjadi satu perlawanan yang sengit.

"Tahniah kepadanya dan saya menikmati perlawanan ini," kata pemain wanita nombor satu Malaysia itu.

Pertemuan itu adalah yang pertama buat kedua-dua pemain itu dan bagi Sivasangari, dia tidak kecewa sebaliknya berazam untuk tampil semula di edisi seterusnya, tahun depan.

"Ini kali kedua (menyertai kejohanan selepas 2018). Satu kejohanan yang hebat dan saya berharap akan kembali lagi di sini tahun depan," katanya.

Pada penyertaan empat tahun lalu, pemain dari Sungai Petani, Kedah itu tewas kepada Mariam Metwally 5-11, 11-9, 11-9, 10-12, 10-12 pada pusingan pertama.

Pada aksi suku akhir kelmarin, pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu mudah membenam cabaran pemain ranking ke-23 dunia Tinne Gilis dari Belgium, dengan meraih kemenangan bersih 3-0.

Terdahulu, dua lagi wakil negara Aifa Azman dan Rachel Arnold menamatkan saingan lebih awal, selepas masing-masing terkandas di pusingan pertama dan kedua kejohanan itu.

Berita Harian X