Khamis, 27 Januari 2022 | 5:20pm
EXCO Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman (dua dari kanan) menerima replika tajaan yang disampaikan Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Saw Chit Boon (dua dari kiri) sambil disaksikan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh (tengah), Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Selangor, Mohd Nizam Marjugi (kanan) dan Pengarah Urusan RSM Sport, Venu Ramadass (kiri) ketika sidang media Kejohanan Badminton Asia di Petaling Jaya, hari ini. Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.

Malaysia hantar pasukan terbaik badminton berpasukan Asia

PETALING JAYA: Malaysia akan menyenaraikan pemain terbaik bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam, bermula 15 hingga 20 Februari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata pihaknya dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan senarai pemain lelaki dan wanita bagi kejohanan berkenaan dan ia termasuk kemungkinan untuk menyenaraikan pemain profesional.

Katanya, skuad lelaki dan wanita negara diletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir sekali gus layak ke pusingan akhir Piala Thomas/Uber di Bangkok, pada Mei ini secara merit.

Edisi BATC 2020 di Filipina menyaksikan skuad lelaki mara ke final sebelum tewas 1-3 di tangan Indonesia manakala perjuangan skuad wanita berakhir di separuh akhir.

"Sebagai tuan rumah, sudah pasti kita akan menyenaraikan pasukan terbaik dan cuba menghasilkan keputusan terbaik dalam kejohanan ini.

"Saya sentiasa berkomunikasi dengan kedua-dua pengarah kejurulatihan kami (Wong Choong Hann dan Rexy Mainaky) dan mereka maklumkan persiapan kita agak rapi walaupun kita baru tahu penganjuran kejohanan ini pada bulan November dan Disember lalu.

"Saya percaya pemain kita sudah bersedia dan akan memberikan yang terbaik. Walaupun berdasarkan kiraan ranking kita memang sudah layak (pusingan akhir Piala Thomas/Uber) tetapi kita tetap mahu menyenaraikan pemain terbaik.

"Kami akan melihat pemain-pemain yang kita ada di dalam dan luar BAM, lihat siapa yang terbaik. Kami akan melihat beberapa faktor dari segi sumbangan dan taktikal kerana ini adalah kejohanan berpasukan…jadi, kita akan lihat secara menyeluruh," katanya pada sidang media penganjuran kejohanan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kenny memberitahu keputusan mengenai rayuan yang dikemukakan bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei akan diputuskan secepat mungkin.

"Kami pun memang mahu ia diselesaikan segera dan kami akan umumkan mengenai keputusannya nanti," katanya.

Berita Harian X