Sabtu, 1 Januari 2022 | 6:29pm
Chong Ming (tengah) bersama Pearly (kiri) dan Thinaah ketika menjuarai Terbuka Switzerland.
Chong Ming (tengah) bersama Pearly (kiri) dan Thinaah ketika menjuarai Terbuka Switzerland.

'Kejayaan Pearly-Thinaah paling bermakna'

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih beregu wanita negara, Chan Chong Ming menyifatkan dia melalui pengalaman menakjubkan sepanjang 18 bulan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Chong Ming, 41, yang menyerahkan surat peletakan jawatannya, Rabu lalu, berkata pencapaian terbesarnya sepanjang mengetuai barisan kejurulatihan beregu wanita adalah menyaksikan gandingan Pearly Tan-M Thinaah menjuarai Terbuka Switzerland, Mac lalu.

"Ia adalah detik paling bermakna dalam kerjaya saya sebagai jurulatih. Saya tumpang gembira kerana akhirnya mereka berjaya merealisasikan impian untuk bergelar juara.

"Segala pengorbanan dan kerja keras mereka selama ini membuahkan hasil yang sangat positif.

"Mereka menunjukkan kesungguhan tinggi untuk melakar kejayaan sekali gus mendorong mereka untuk mempamerkan prestasi terbaik setiap kali turun ke gelanggang.

"Kejayaan Pearly-Thinaah juga sesuatu yang sangat besar untuk kami apabila semua pemain sudah mula percaya mereka juga mampu untuk menaiki podium," kata Chong Ming yang terpaksa melepaskan jawatannya atas alasan peribadi.

Semalam, BAM mengesahkan menerima peletakan jawatan Chong Ming yang juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia sebanyak dua kali hanya selepas 18 bulan bersama badan induk itu.

Selain membantu Pearly-Thinaah muncul juara Terbuka Switzerland, sentuhan Chong Ming turut menyaksikan gandingan itu yang sebelum ini berada di kedudukan ke-52 kini berada di ranking ke-16 dunia dalam tempoh setahun.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata pihaknya akan menunggu penilaian daripada Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pengganti kepada Chong Ming.

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, Rexy diberi tempoh sebulan untuk melakukan penilaian dan kami tunggu laporan daripada Rexy dulu. Buat masa ini, kami belum memikirkan lagi mengenai pengganti Chong Ming.

"Semuanya akan bergantung daripada laporan yang akan dikemukakan Rexy nanti," katanya.

Berita Harian X