Sabtu, 18 Disember 2021 | 6:50pm
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia pada aksi Kejohanan Dunia di Huelva, selatan Sepanyol. - Foto EPA
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia pada aksi Kejohanan Dunia di Huelva, selatan Sepanyol. - Foto EPA

Zii Jia bakal bangkit musim depan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan percaya anak didiknya, Lee Zii Jia berpotensi untuk memenangi gelaran utama apabila saingan musim depan bermula dengan jadual lebih tersusun.

Jurulatih dari Indonesia itu, berkata pemain berusia 23 tahun berkenaan meraih pengalaman berguna selepas mengharungi sembilan kejohanan dalam tempoh tiga bulan termasuk yang terakhir pada Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol yang menyaksikan perjuangan Zii Jia tersekat di suku akhir.

"Selepas perjalanan yang cukup panjang, lebih kurang tiga bulan dengan beraksi dalam sembilan kejohanan berturut-turut, sudah pasti semua pemain termasuk Zii Jia mengalami keletihan. Bukan fizikal tetapi keletihan dari aspek mental.

"Kejohanan Dunia kali ini akan ada juara baharu. Sesiapa yang mempunyai kekuatan mental dan kekal fokus, pasti akan menjadi juara.

"Untuk Zii Jia, ini adalah pengajaran berguna dan pengalaman yang akan mematangkan dirinya. Saya harap tahun depan dengan jadual kejohanan yang lebih tersusun, saya percaya Zii Jia akan membuat yang terbaik untuk cuba meraih kejuaraan dalam kejohanan utama," kata Hendrawan.

Zii Jia yang menghuni ranking nombor tujuh dunia terpaksa menarik diri di set ketiga ketika aksi suku akhir bertemu pemain Denmark, Anders Antonsen ekoran melecet di bahagian tapak kakinya, malam tadi.

Kecederaan kaki yang dialami Lee Zii Jia. - Foto ihsan Hendrawan
Kecederaan kaki yang dialami Lee Zii Jia. - Foto ihsan Hendrawan

Dalam perlawanan itu, Zii Jia menang set pertama 21-12 sebelum tewas 8-21 di set kedua dan memutuskan untuk menarik diri ketika ketinggalan 1-11 di set ketiga selepas kecederannya bertambah teruk.

Hendrawan berkata juara Seluruh England 2021 itu mengalami kecederaan berkenaan sejak aksi pusingan ketiga bertemu seorang lagi pemain Denmark, Hans Kristian Solberg Vittinghus.

"Selepas bermain dengan Vittinghus, kaki dia melecet sehingga berdarah. Selepas itu kita cuba lakukan rawatan tetapi pada sebelah pagi Zii Jia beritahu dia masih rasa sakit.

"Kami cuba balut bagi mengurangkan rasa sakit. Ketika set pertama, dia masih boleh bermain tetapi set kedua sudah tidak boleh. Selepas tamat set kedua, nampak ada keluar darah lagi dan minta doktor balut lagi tetapi masih sakit, dia sudah cuba semaksimum yang boleh," katanya.

Sebelum Kejohanan Dunia, Zii Jia sudah beraksi dalam lapan kejohanan iaitu Piala Sudirman, Piala Thomas, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis, Terbuka Hylo, Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Jelajah Dunia Akhir BWF.

Pencapaian terbaiknya adalah mara ke final Terbuka Hylo di Jerman tetapi terpaksa menarik diri di set ketiga bertemu pemain Singapura, Loh Kean Yew kerana kecederaan pinggang.

Berita Harian X