Jumaat, 17 Disember 2021 | 2:18pm
Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto EPA.
Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto EPA.

Zii Jia akui sukar berdepan Antonsen malam ini

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui berdepan tugas sukar apabila bertemu rakan baiknya dari Denmark, Anders Antonsen pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol, malam ini.

Pemain berusia 23 tahun itu, berkata prestasi Antonsen yang berada di ranking nombor tiga dunia lebih konsisten berbanding dirinya.

"Sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Antonsen seorang pemain yang baik.

"Corak permainnanya semakin matang dan dia mengharungi musim yang menakjubkan tahun ini. Prestasi dia juga lebih stabil berbanding saya tahun ini.

"Jadi, saya perlu buat persiapan terbaik bagi mengadapi Antonsen dalam perlawanan suku akhir," kata Zii Jia yang hanya menang sekali ke atas Antonsen dalam tiga pertemuan sebelum ini.

Terdahulu, Zii Jia yang berada di kedudukan ranking nombor tujuh dunia mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan pemain Denmark, Hans Kristian Solberg Vittinghus 21-15, 15-21, 21-10 dalam aksi pusingan ketiga, awal pagi tadi.

Antonsen pula mara selepas tidak berdepan masalah menundukkan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 21-9, 21-11.

Sementara itu, tiga lagi wakil negara membabitkan dua beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin selain beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut akan beraksi dalam aksi suku akhir, hari ini.

V Shem-Wee Kiong yang bergandingan buat kali terakhir dalam kejohanan ini akan bertemu pasangan China, He Jing Ting-Tan Qiang manakala Ee Yi-Yew Sin berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Soon Huat-Shevon pula akan menentang pilihan kedua dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Berita Harian X