Ahad, 12 Disember 2021 | 8:11pm
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah. - Foto ihsan Facebook BAM.
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah. - Foto ihsan Facebook BAM.

Pearly-Thinaah tekad 'gegar' kejohanan dunia

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tekad untuk menghasilkan keputusan terbaik dalam penampilan sulung mereka pada Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol.

Walaupun tidak meletakkan sasaran khusus dalam kejohanan kali ini, namun pasangan ranking ke-16 dunia berkenaan mahu memberikan yang terbaik sekali gus membuktikan mereka mampu menjadi pencabar kepada kelompok utama dunia.

"Saya masih dalam usaha untuk meningkatkan semula tahap keyakinan saya kerana ketika di Indonesia (Festival Badminton Indonesia) saya tidak bermain dengan baik dan mula hilang keyakinan diri.

"Namun, saya harap ia akan menjadi lebih baik di sini (Huelva). Kami tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya mahu melakukan yang terbaik dan bermain dengan corak permainan kami sendiri," kata Thinaah.

Pearly-Thinaah yang terkandas di peringkat kumpulan ketika saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia minggu lalu mendapat `bye' di pusingan pertama.

Mereka akan bertemu pemenang perlawanan antara Ng Tsz Yau-Yuen Sin Ying dari Hong Kong dengan pasangan Scotland, Julie Macpherson-Ciara Torrance bagi merebut tempat ke pusingan ketiga, Selasa ini.

Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akan membuka tirai kempen di Huelva, esok menentang pemain Kanada, Jason Anthony Ho-Shue untuk aksi pusingan pertama.

Ujian sebenar buat pilihan keenam kejohanan itu dijangka hadir di pusingan ketiga apabila dia diramal bertemu sama ada Kanta Tsuneyama dari Jepun atau pemain berpengalaman Denmark, Hans Kristian Solberg Vittinghus.

Jika mara ke suku akhir, Zii Jia dijangka membuat perhitungan dengan pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen dengan juara Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen menantinya andai kedua-dua layak ke separuh akhir.

Seorang lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki, Liew Daren yang memenangi pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018 turut akan memulakan aksi esok menentang pemain Israel, Misha Zilberman.

Berita Harian X