Ahad, 12 Disember 2021 | 8:10pm
Gambar fail . Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Gambar fail . Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

BAM hantar pemain pelapis Sukan SEA 2021

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengulangi pendirian untuk menghantar barisan pemain pelapis negara beraksi pada Sukan SEA Vietnam 2021 yang dijadual 12 hingga 23 Mei ini.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata tidak timbul isu pertindihan tarikh antara temasya berkenaan dengan saingan Piala Thomas/Uber 2022 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei.

"Untuk Sukan SEA kita akan membariskan muka baharu. Perkara ini pun sudah diumumkan dulu sebelum Sukan SEA ditangguhkan lagi.

"Selain pemain daripada skuad pelapis, kita juga akan melihat pemain remaja yang berpotensi untuk disenaraikan bagi membawa cabaran negara di temasya berkenaan.

"Jadi, saya fikir ia tidak akan memberikan kesan kepada pelan kita. Untuk saingan Piala Thomas/Uber ia akan dibarisi pemain elit negara," kata Norza.

Skuad pelapis negara bakal hadir di Vietnam dengan reputasi tinggi selepas Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas pada edisi 2019 di Filipina.

Emas hadir menerusi kejayaan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Skuad badminton negara juga memenangi perak dalam acara beregu campuran menerusi Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan berpasukan lelaki.

Malaysia turut membawa pulang lima gangsa menerusi acara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen (beregu wanita), Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran) dan berpasukan wanita.

Berita Harian X