Isnin, 6 Disember 2021 | 5:09pm
Zii Jia mahu bangkit di Kejohanan Dunia, minggu depan.
Zii Jia mahu bangkit di Kejohanan Dunia, minggu depan.

Zii Jia tekad gegar Sepanyol

KUALA LUMPUR: Tiada istilah berputus asa dalam kamus pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia apabila menanamkan tekad untuk bangkit pada Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol yang bermula 12 hingga 19 Disember ini.

Pemain ranking nombor lapan dunia itu terlepas peluang terbaik bagi mara ke final keduanya tahun ini selepas menjuarai Seluruh England, Mac lalu apabila tewas di tangan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF, Sabtu lalu.

Sebelum itu, pemain berusia 23 tahun berkenaan yang diletakkan sebagai pilihan kedua berjaya menewaskan lawan sama ketika saingan peringkat kumpulan.

Zii Jia yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Hendrawan berkata, biarpun tewas di separuh akhir namun pencapaian itu tetap baik jika dibandingkan pada penampilan pertamanya dalam kejohanan akhir musim berkenaan, Januari lalu yang menyaksikan dia tewas semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

"Saya ada tempah lebih kurang seminggu lebih sebelum Kejohanan Dunia bermula. Saya akan manfaatkan tempoh masa yang ada untuk rehat dan buat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia," kata Zii Jia.

Di Huelva, Zii Jia boleh menarik nafas lega apabila berjaya mengelak daripada bertemu pemain utama dunia di pusingan awal.

Dia akan membuka tirai kempen menentang pemain Kanada, Jason Anthony Ho-Shue dan ujian sebenar buat Zii Jia dijangka hadir di pusingan ketiga apabila dia diramal bertemu sama ada Kanta Tsuneyama dari Jepun atau pemain berpengalaman Denmark, Hans Kristian Solberg Vittinghus.

Jika mara ke suku akhir, Zii Jia dijangka membuat perhitungan dengan pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen dengan juara Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen menantinya andai kedua-dua layak ke separuh akhir.

Berita Harian X