Ahad, 5 Disember 2021 | 3:24pm
Skuad lelaki negara bergambar dengan trofi kejuaraan selepas menewaskan India pada aksi final di Pusat Skuasy Bukit Jalil. - STR/ FARIZ ISWADI ISMAIL.
Skuad lelaki negara bergambar dengan trofi kejuaraan selepas menewaskan India pada aksi final di Pusat Skuasy Bukit Jalil. - STR/ FARIZ ISWADI ISMAIL.

Ivan bantu skuad skuasy akhiri kemarau 13 tahun

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara, Ivan Yuen Chee Wern mengatasi rasa gentarnya bagi membantu pasukan menamatkan kemarau 13 tahun penantian gelaran di Kejohanan Berpasukan Asia selepas menewaskan India 2-1, semalam.

Ivan yang menjadi penentu buat kemenangan pasukan berkata, dia hanya memberikan sepenuh tumpuan bagi memastikan kemenangan ke atas lawannya, Ramit Tandon 11-8, 8-11, 11-3, 11-1.

"Tidak pernah bermain sebagai penentu (kemenangan) kerana India adalah sebuah pasukan yang sangat berpengalaman," kata pemain berusia 31 tahun itu.

"Pasukan hanya memasuki gelanggang untuk bermain corak permainan kami dan berjuang untuk setiap mata dan saya juga bermain dengan sedaya upaya.

"Saya mengalami kecederaan pada awal tahun ini tetapi saya bersyukur kerana dapat mengatasinya. Saya gembira kerana dapat mengatasinya dan bangkit dengan lebih kuat dan semuanya berlangsung dengan baik buat kami."

Pada aksi final menentang India di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil itu, pemain negara di ranking ke-18 dunia, Ng Eain Yow memulakan saingan dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan ke atas Saurav Ghosal 12-10, 11-4, 11-8.

Namun, India bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mahesh Mangaonkar yang menewaskan Syafiq Kamal 11-9, 11-7, 11-8 dalam tempoh 42 minit.

Ivan kemudian menjadi tumpuan perlawanan edisi ke-20 itu sebelum mencatat kemenangan ke atas Tandon dalam tempoh 41 minit sekali gus membolehkan pasukan muncul juara selepas kali terakhir pada 2008.

Kemenangan itu juga secara tidak langsung merekodkan gelaran keempat buat pasukan lelaki di pentas Asia selepas 2008, 2006 dan 2000.

Hari kemuncak kejohanan turut menyaksikan pasukan wanita muncul juara buat kali ke-10 sekali gus merekodkan gelaran berganda buat negara di pentas Asia selepas kali terakhir pada 2008.

Juara Perlawanan Akhir 20th Asian Team Championship 2021, wanita berpasukan bergambar dengan Pingat yang dimenangi di Pusat Skuasy Bukit Jalil. - Foto Fariz Iswadi Ismail.
Juara Perlawanan Akhir 20th Asian Team Championship 2021, wanita berpasukan bergambar dengan Pingat yang dimenangi di Pusat Skuasy Bukit Jalil. - Foto Fariz Iswadi Ismail.

Berita Harian X