Sabtu, 4 Disember 2021 | 7:39pm
Pemain negara, Aifa Azman (kiri) menewaskan wakil Hong Kong , China, Ho Tze Lok dalam saingan di Pusat Skuasy Bukit Jalil. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Pemain negara, Aifa Azman (kiri) menewaskan wakil Hong Kong , China, Ho Tze Lok dalam saingan di Pusat Skuasy Bukit Jalil. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Skuad wanita negara juara skuasy berpasukan Asia

KUALA LUMPUR: Pasukan skuasy wanita negara diberi tentangan sengit penyandang gelaran, Hong Kong sebelum muncul juara dalam aksi final Kejohanan Berpasukan Asia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Malaysia memulakan saingan dengan menurunkan pemain berpengalaman Rachel Arnold yang mudah mengatasi lawannya Liu Tsz Ling dengan keputusan 11-6, 8-11, 11-7, 11-2.

Rachel menumpaskan lawannya yang seusianya 25 tahun itu dalam tempoh 32 minit sebelum Hong Kong kembali mengikat saingan menerusi Tong Tsz Wing.

Tsz Wing menewaskan Ainaa Amani dengan keputusan 11-8, 11-6, 6-11, 11-9 dalam tempoh 41 minit dan harapan negara tertumpu kepada perlawanan terakhir antara Aifa Azman dan Ho Tze Lok.

Aifa memenangi perlawanan ke atas Tze Lok dengan keputusan 11-4, 11-3, 11-6 dalam tempoh 21 minit sekali gus menjadikan keputusan memihak kepada Malaysia dengan 7-4.

Untuk rekod, ia adalah kemenangan ke-10 buat pasukan wanita selepas kali terakhir menjulang trofi berkenaan pada 2016 di Taiwan.

Pada edisi 2018 di Cheongju, Korea Selatan, skuad wanita meraih tempat ketiga dengan Hong Kong pada ketika itu muncul selaku juara.

Berita Harian X