Jumaat, 3 Disember 2021 | 11:32pm
Aksi pemain negara, Lee Zii Jia ketika bertemu pemain Perancis, Toma Junior Popov pada saingan peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF di Nusa Dua, Bali, Indonesia sebelum ini. - Foto AFP
Aksi pemain negara, Lee Zii Jia ketika bertemu pemain Perancis, Toma Junior Popov pada saingan peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF di Nusa Dua, Bali, Indonesia sebelum ini. - Foto AFP

Peluang Zii Jia ke final Jelajah Dunia terbuka luas

KUALA LUMPUR: Pintu kini terbuka luas buat pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk melangkah ke final Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia selepas diundi bertemu Kunlavut Vitidsarn dari Thailand dalam aksi separuh akhir, pada Sabtu.

Atas kertas pilihan kedua kejohanan itu seharusnya tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan dalam perlawanan esok selepas menewaskan lawan sama ketika saingan peringkat kumpulan, Rabu lalu.

Zii Jia, 23, mara ke separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan B apabila menang semua tiga perlawanan ke atas Kunlavut, Toma Junior Popov (Perancis) dan K Srikanth (India).

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua juara Seluruh England 2021 itu layak beraksi dalam kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.36 juta) dengan penampilan pertamanya pada edisi 2021 menyaksikan dia terkandas di peringkat kumpulan.

Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pertemuan antara juara Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen dari Denmark dengan pemain India, Lakshya Sen.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, pasangan profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin diundi bertemu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi untuk aksi separuh akhir.

Beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang turut melangkah ke kelompok empat terbaik diundi menentang pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Berita Harian X