Jumaat, 3 Disember 2021 | 8:00pm
Aksi pemain negara, Lee Zii Jia ketika menentang wakil India, Kidambi Srikanth pada aksi perseorangan lelaki peringkat kumpulan saingan badminton Jelajah Dunia Akhir BWF di Nusa Dua, Bali, Indonesia, hari ini. - Foto EPA/PBSI.
Aksi pemain negara, Lee Zii Jia ketika menentang wakil India, Kidambi Srikanth pada aksi perseorangan lelaki peringkat kumpulan saingan badminton Jelajah Dunia Akhir BWF di Nusa Dua, Bali, Indonesia, hari ini. - Foto EPA/PBSI.

Lee Zii Jia kini intai peluang ke final di Bali

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengintai peluang untuk mara ke pentas final selepas berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir saingan Jelajah Dunia Akhir BWF selaku juara Kumpulan B.

Pilihan kedua kejohanan itu mengakhiri saingan kumpulan dengan kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan pemain India, K Srikanth 21-19, 21-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Indonesia, hari ini.

Dalam dua perlawanan awal kumpulan sebelum ini, Zii Jia, 23, turut menang ke atas pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn dan Toma Junior Popov dari Perancis.

Juara Seluruh England 2021 itu, berkata kejayaan mara ke kelompok empat terbaik meningkatkan lagi tahap keyakinan dirinya untuk cuba meloloskan diri ke pentas final buat kali pertama dalam kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.36 juta) itu.

"Sejak awal kejohanan ini, sasaran saya adalah untuk mara ke separuh akhir dan kini saya sudah berjaya mencapainya.

"Diharapkan, saya dapat mengekalkan momentum dan lebih yakin untuk cuba mara ke final. Itu adalah sasaran saya yang seterusnya," katanya yang sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas mengalami kecederaan pinggang di final Terbuka Hylo di Jerman, bulan lalu.

Susulan kecederannya itu, Zii Jia terpaksa menarik diri di pusingan pertama Masters Indonesia sebelum tersingkir di pusingan pertama Terbuka Indonesia, minggu lalu.

Kejayaan mara ke separuh akhir kali ini menyaksikan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu memperbaiki pencapaiannya dalam penampilan pertama pada edisi 2020, awal tahun ini yang menyaksikan dia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan apabila tewas semua tiga perlawanan.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Srikanth, Zii Jia, berkata: "Seperti yang saya katakan sebelum ini, perlawanann dengan Srikanth pastinya sengit. Saya cuba untuk tidak melakukan kesilapan mudah dan mengawal emosi saya, ia berhasil."

Sementara itu, perjuangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah di Bali berakhir selepas tewas di tangan juara Olimpik Tokyo 2020 dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dalam aksi terakhir Kumpulan A.

Selepas mencipta sensasi menumbangkan pilihan pertama dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai, semalam, Pearly-Thinaah yang kali pertama beraksi dalam kejohanan ini gagal mengekalkan momentum apabila tewas 18-21, 11-21 di tangan Greysia-Apriyani yang mara ke separuh akhir.

Berita Harian X