Jumaat, 3 Disember 2021 | 6:24pm
Pemain negara, Ainaa Amani Ampandi (depan) ketika menentang wakil Jepun, Rafu Takahashi pada aksi separuh akhir skuasy Berpasukan Asia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Pemain negara, Ainaa Amani Ampandi (depan) ketika menentang wakil Jepun, Rafu Takahashi pada aksi separuh akhir skuasy Berpasukan Asia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Skuad lelaki, wanita negara mara final berpasukan Asia

KUALA LUMPUR: Pasukan skuasy lelaki dan wanita negara hanya selangkah lagi bagi merangkul gelaran juara Kejohanan Berpasukan Asia selepas masing-masing menepati ramalan mara ke pentas final.

Saingan kategori lelaki menyaksikan Malaysia menundukkan Jepun 2-0 dalam aksi separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pemain nombor satu negara, Ng Eain Yow menyumbangkan mata pertama selepas menewaskan Ryosei Kobayashi 11-4, 11-2, 11-1 manakala Ivan Yuen memastikan kemenangan awal pasukan negara dengan menundukkan Tomotaka Endo 11-3, 11-9, 11-7.

Perlawanan ketiga membabitkan pertemuan antara Addeen Idrakie dengan Ryunosuke Tsukue tidak dilangsungkan selepas Malaysia berjaya mengutip dua mata pertama.

"Selepas berjaya mencapai sasaran awal untuk ke final, saya lihat tiada sebab untuk kami tidak meletakkan sasaran untuk menjadi juara. Berdasarkan prestasi semasa pasukan dalam kejohanan ini, kami ada peluang yang cerah untuk menghasilkan keputusan positif esok (dalam aksi final)," kata Eain Yow.

Pasukan lelaki negara akan bertemu pemenang perlawanan antara India dengan Hong Kong bagi perebutan gelaran juara, esok.

Sementara itu, pasukan wanita negara cemas seketika sebelum bangkit menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi separuh akhir.

Jepun terlebih dahulu di depan apabila Satomi Watanabe mengutip mata pertama menerusi kemenangan ke atas Rachel Arnold 11-5, 11-2, 11-4.

Bagaimanapun, juara Terbuka Malaysia 2021, Aifa Azman kembali menyamakan kedudukan buat pasukan negara selepas menundukkan Risa Sugimoto 11-4, 11-4, 11-5 sebelum Noor Ainaa Amani Ampandi menyumbangkan mata kemenangan menerusi kemenangan ke atas Rafu Takahashi 11-3, 11-2, 11-5.

"Sudah pasti ada tekanan sebelum masuk ke gelanggang yang mana keputusan terikat 1-1. Namun, saya memang buat persiapan dengan melakukan analisis ke atas lawan saya itu dan saya memang berasa yakin untuk menentang dia biarpun ini adalah pertemuan pertama kami.

"Saya hanya bermain dengan corak permainan saya sendiri dan tidak banyak berdepan masalah," kata Ainaa.

Pasukan wanita akan bertemu pemenang perlawanan antara India dengan Hong Kong dalam aksi final esok.

Berita Harian X