Khamis, 2 Disember 2021 | 8:09pm
Gambar fail - Pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman. - Foto BERNAMA

Malaysia tak pandang mudah cabaran Jepun

KUALA LUMPUR: Pasukan skuasy wanita negara enggan memandang mudah terhadap pasukan Jepun dalam aksi separuh akhir kejohanan Berpasukan Asia, esok.

Pasukan yang diketuai Rachel Arnold itu berkata, pihak lawan mempunyai semangat juang tinggi sekali gus menuntut rakan sepasukan yang turut dibarisi Aifa Azman, Chan Yiwen dan Ainaa Amani memberikan tumpuan penuh seawal saingan bermula.

"Kami tak boleh memandang rendah kemampuan mereka," kata Rachel. "Semangat mereka sangat tinggi. Dalam acara berpasukan ini, semangat sebegitu perlu ada dan kami perlu memberikan tumpuan dari awal."

Jepun mempertaruhkan dua pemain yang pernah meraih gangsa di Sukan Asia Jakarta 2018 iaitu Satomi Watanabe dan Risa Sugimoto serta Akari Midorikawa dan Rafa Takahashi.

Bagi Rachel, dia menyedari kekuatan pihak lawan dan menjangkakan cabaran dari Satomi yang pada kali terakhir pertemuan menewaskannya di separuh akhir Terbuka Australia 2019.

"Saya sudah lama tidak memasuki gelanggang dengan dia. Sebelum ini keputusan sangat sengit. Saya berharap dapat bermain dengannya nanti dan meraih kemenangan ke atasnya," kata Rachel yang pada ketika itu tewas 6-11, 8-11, 12-10, 11-9, 3-11.

Dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil hari ini, pasukan wanita negara yang dibarisi Aifa, Yiwen dan Ainaa menewaskan Filipina 9-0.

Aifa menewaskan Jemyca Aribado 11-1, 11-7, 11-8 dalam tempoh 18 minit manakala Yiwen meraih kemenangan ke atas Yvone Alyssa Dalida 11-2, 11-1, 11-3.

Ainaa melengkapkan kemenangan selesa pasukan selepas menundukkan Lizette Reyes 11-3, 11-6, 11-3 untuk muncul selaku juara Kumpulan B.

Berita Harian X