Khamis, 2 Disember 2021 | 7:40pm
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah. - Foto ihsan Facebook BAM.
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah. - Foto ihsan Facebook BAM.

Pearly-Thinaah cipta kejutan di Bali

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mendapat tonik terbaik sebelum aksi bertemu juara Olimpik Tokyo 2020, Greysia Polii-Apriyani Rahayu apabila mengejutkan pasangan Thailand yang juga pilihan pertama kejohanan, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dalam aksi kedua Kumpulan A saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, hari ini.

Pasangan negara yang menghuni ranking ke-17 dunia itu mempamerkan aksi luar biasa untuk melakar kemenangan 23-21, 21-14 ke atas Jongkolphan-Rawinda.

Kemenangan itu menghidupkan kembali peluang Pearly-Thinaah yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan akhir musim berkenaan untuk mara ke separuh akhir selepas tewas aksi pertama bertemu pasangan Korea Selatan, Korea Selatan, Kim Soyeong-Kong Heeyong, semalam.

Bagi Thinaah, ia adalah perlawanan penuh emosi buat dirinya menentang beregu Thailand di ranking nombor sembilan dunia itu selepas bergelut untuk meningkatkan tahap keyakinannya akibat prestasi tidak menentu dialami sebelum ini.

"Dalam beberapa kejohanan sebelum ini, saya tidak mendapat mempamerkan prestasi terbaik kerana kurang keyakinan diri. Sehingga sekarang pun saya masih cuba untuk mendapatkan kembali keyakinan dan motivasi saya dalam setiap perlawanan.

"Namun, saya sangat gembira dalam perlawanan hari ini kerana saya dapat meningkatkan sedikit tahap keyakinan dan saya perlu berterima kasih kepada pasangan saya (Pearly) yang sentiasa memberi sokongan di dalam gelanggang," kata Thinaah sejurus tamat perlawanan.

Pearly-Thinaah bagaimanapun berdepan ujian getir apabila dijadual bertemu Greysia-Apriyani untuk aksi terakhir kumpulan, esok yang mana mereka wajib menang bagi melayakkan diri ke separuh akhir.

Berdasarkan rekod pertemuan, pasangan muda negara itu tewas semua empat perlawanan sebelum ini dengan kali terakhir mereka bertemu adalah di Terbuka Denmark, Oktober lalu.

"Peluang untuk menang agak sukar selepas tewas semua empat perlawanan sebelum ini dan kami juga adalah 'underdog'. Namun, kami cuba memberikan yang terbaik seperti yang kami lakukan dalam perlawanan hari ini," kata Pearly.

Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas merekodkan kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan B menerusi kejayaan menewaskan pemain Perancis, Toma Junior Popov 21-13, 21-19.

Lee Zii Jia menentang Toma Junior Popov dari Perancis semasa perlawanan badminton perseorangan lelaki di Pusingan Jelajah Dunia BWF di Nusa Dua di Bali. - Foto Edaran/Persatuan Badminton Indonesia/AFP)/
Lee Zii Jia menentang Toma Junior Popov dari Perancis semasa perlawanan badminton perseorangan lelaki di Pusingan Jelajah Dunia BWF di Nusa Dua di Bali. - Foto Edaran/Persatuan Badminton Indonesia/AFP)/

Pilihan kedua kejohanan itu akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang pemain India, K Srikant, esok.

Dalam saingan beregu campuran, pasangan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mengesahkan tiket kelompok empat terbaik apabila menang ke atas gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-17, 19-21, 21-16 dalam aksi kedua Kumpulan A.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu akan mengakhiri aksi peringkat kumpulan menentang pilihan pertama dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Berita Harian X