Rabu, 1 Disember 2021 | 8:42pm
Aksi pemain negara, Rachel Arnold (kanan) ketika bertemu pemain India, Joshna Chinappa pada saingan Berpasukan Wanita Asia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil. - Foto ihsan Facebook SRAM.
Aksi pemain negara, Rachel Arnold (kanan) ketika bertemu pemain India, Joshna Chinappa pada saingan Berpasukan Wanita Asia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil. - Foto ihsan Facebook SRAM.

Malaysia atasi India skuasy berpasukan Asia

KUALA LUMPUR: Aksi penuh mendebarkan berlangsung dalam saingan wanita kejohanan skuasy Berpasukan Asia 2021 yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Dalam aksi kedua peringkat Kumpulan B itu, pemain berpengalaman negara, Rachel Arnold membuka tirai saingan dengan kekalahan 2-3 di tangan pemain India, Joshna Chinappa.

Rachel, 26, tewas 11-9, 8-11, 7-11, 11-8, 9-11 dalam tempoh 45 minit sekali gus membenarkan Joshna untuk memegang rekod pertemuan antara mereka kepada 1-0.

"Keputusan yang sangat sengit," kata Rachel. "Saya rasa masih ada beberapa perkara yang perlu saya pertingkatkan lagi dalam perlawanan dan saya akan cuba menewaskannya pada masa akan datang."

Begitupun, kekalahan Arnold itu pantas ditebus Aifa Azman dengan mencatat kemenangan 11-9, 11-4, 11-7 dalam tempoh 22 minit ke atas Sunyana Kuruvilla sebelum Ainaa Amani melengkapkan kemenangan pasukan 8-3.

Ainaa menewaskan Urwashi Joshi dengan keputusan 11-5, 11-9, 11-8 dalam tempoh 21 minit dan mereka selepas ini dijadual bertemu pasukan Filipina di pusingan terakhir kumpulan esok.

"Prestasi saya okey tetapi bukan 100 peratus. Namun saya sudah melakukan yang terbaik. Tekanan itu tertumpu kepada saya kerana perlu mencari kemenangan," kata Ainaa.

Selepas dua perlawanan, Malaysia berada di tangga pertama kumpulan manakala India berada di tempat kedua dengan satu kemenangan dan satu kekalahan.

Turut sama dalam peringkat Kumpulan B bersama Malaysia dan India adalah Iran dan Filipina

Berita Harian X