Rabu, 1 Disember 2021 | 6:37pm
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia. - Foto ihsan Facebook BAM.
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia. - Foto ihsan Facebook BAM.

Zii Jia menang aksi sulung Jelajah Dunia Akhir BWF

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menegaskan dia kini berada pada tahap prestasi terbaik selepas memenangi perlawanan pertama peringkat kumpulan saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia, hari ini.

Selepas tiga minggu berkampung di Bali, pemain ranking nombor lapan dunia berusia 23 tahun itu meraih kemenangan pertamanya dengan menundukkan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand 21-15, 21-16 dalam aksi sulung Kumpulan B.

Sebelum ini, Zii Jia terpaksa menarik diri di pusingan pertama Masters Indonesia kerana masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan pinggang ketika final Terbuka Hylo di Jerman, awal bulan lalu sebelum tersingkir di pusingan pertama Terbuka Indonesia, minggu lalu.

"Saya gembira dapat meraih kemenangan pertama di Bali dalam tempoh tiga minggu. Selepas tiga minggu, saya mendapat rehat yang secukupnya dan berada dalam keadaan baik, saya harap dapat menghasilkan keputusan yang positif dalam kejohanan ini.

"Saya akan buat persiapan untuk menghadapi dua lagi lawan seterusnya dalam peringkat kumpulan. Sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan saya perlu kekal fokus," kata Zii Jia.

Juara Seluruh England 2021 itu akan berdepan pemain Perancis, Toma Junior Popov untuk aksi kedua kumpulan, esok sebelum mengakhiri saingan bertemu K Srikanth dari India, Khamis ini.

Hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke separuh akhir kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai AS$1.5 juta (RM6.36 juta) itu.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut bermula langkah kanan apabila menang aksi pertama Kumpulan A menentang rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-14, 21-13.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan meneruskan cabaran mereka bertemu pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje untuk aksi kedua peringkat kumpulan manakala Kian Meng-Pei Jing pula akan bertemu pasangan nombor empat dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, esok.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang tewas di tangan pasanan Korea Selatan, Kim Soyeong-Kong Heeyong 14-21, 14-21 dalam aksi pertama Kumpulan A.

Pasangan muda negara itu tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas pilihan pertama dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai, esok bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Berita Harian X