Selasa, 30 November 2021 | 5:26pm
Rachel (depan) butirkan mata pertama skuad negara ketika menentang Iran pada Kejohanan Berpasukan Asia di Pusat Skuasy Nasional, hari ini.
Rachel (depan) butirkan mata pertama skuad negara ketika menentang Iran pada Kejohanan Berpasukan Asia di Pusat Skuasy Nasional, hari ini.

Rachel 'bakar' semangat rakan benam Iran

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, Rachel Arnold tekad untuk menebus kekecewaan tersingkir di suku akhir Terbuka Malaysia minggu lalu dengan membawa skuad negara merangkul kejuaraan pada Kejohanan Berpasukan Asia.

Terdahulu, Rachel, 25, yang mengetuai cabaran skuad wanita berjaya melakar kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan B apabila menewaskan Iran 3-0 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pemain berasal dari Kuala Lumpur itu menyumbang mata pertama pasukan selepas menewaskan Fereshteh Eghtedari 11-5, 16-14, 11-2 sebelum Chan Yiwen mengutip mata kedua menerusi kemenangan ke atas Aileee Nayeri 11-4, 11-9, 11-5.

Pemain muda, Noor Ainaa Amani Ampandi memastikan kemenangan mutlak buat skuad negara apabila meraih mata ketiga selepas menewaskan Sogol Samoudi 11-5, 11-4, 6-11, 11-6.

Bagi Rachel, biarpun skuad wanita negara diletakkan sebagai pilihan kedua dalam kejohanan kali ini namun dia percaya peluang untuk muncul juara cerah berdasarkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Ia sedikit mengecewakan apabila tewas minggu lalu (suku akhir Terbuka Malaysia) tetapi saya tetap bersemangat untuk beraksi dalam minggu ini. Saya mahu lupakan kekalahan minggu lalu dan bermula semula minggu ini," katanya.

Skuad wanita akan meneruskan cabaran dalam kejohanan kali ini bertemu India untuk aksi kedua Kumpulan B, esok.

Sementara itu, skuad lelaki negara yang dibarisi Ivan Yuen, Syafiq Kamal dan Adden Idrakie turut bermula dengan langkah kanan apabila mengatasi Singapura 3-0 dalam aksi pertama Kumpulan B selepas ketiga-tiga pemain itu berjaya menewaskan lawan masing-masing.

Berita Harian X