Selasa, 30 November 2021 | 2:12pm
Zii Jia mendapat laluan mudah dalam saingan peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF bermula esok.
Zii Jia mendapat laluan mudah dalam saingan peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF bermula esok.

Tuah undian memihak Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya mengelak daripada diundi satu kumpulan dengan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dan bintang Jepun, Kento Momota pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF yang berlangsung di Bali, Indonesia bermula esok.

Zii Jia, 23, yang menghuni ranking nombor lapan dunia seharusnya tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir apabila diundi dalam Kumpulan B bersama K Srikanth dari India, Kunlavut Vitidsarn (Thailand) dan Toma Junior Popov (Perancis).

Axelsen dan Momota pula dilabel sebagai pilihan untuk mara ke separuh akhir selepas diundi dalam Kumpulan A bersama dua lagi pemain iaitu Rasmus Gemke (Denmark) dan Lakshya Sen (India).

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann bagaimanapun, berkata pihaknya enggan meletakkan harapan yang tinggi terhadap Zii Jia kerana sedar juara Seluruh England 2021 itu masih bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam beberapa kejohanan sebelum ini selain baru pulih daripada kecederaan pinggang dialaminya ketika final Terbuka Hylo di Jerman, awal bulan ini.

"Sukar untuk saya bercakap mengenai peluang Zii Jia kerana kita tahu dia masih belum dapat menemui rentak sebenarnya dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Namun, saya harap Zii Jia menjadikan saingan Jelajah Dunia Akhir ini sebagai persiapan dia untuk menghadapi Kejohanan Dunia (di Huelva, Sepanyol bermula 12 hingga 19 Disember ini," kata Choong Hann.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua Zii Jia layak beraksi dalam kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.36 juta) itu.

Penampilan pertamanya pada Edisi 2020 yang berlangsung di Thailand, Januari lalu menyaksikan dia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan apabila tewas semua perlawanan di tangan Axelsen, Chou Tien Chen dari Taiwan dan pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.

Sementara itu, saingan beregu lelaki menyaksikan pasangan profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin diundi dalam Kumpulan B bersama beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, Pramudya Kusumawardana (Indonesia) dan Christo Popov-Junior Popov (Perancis).

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan ini pula diundi dalam 'kumpulan maut' bersama pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai, Kim Soyeong-Kong Heeyong (Korea Selatan) dan juara Olimpik Tokyo 2020 dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dalam Kumpulan A.

"Semestinya kami teruja dapat beraksi dalam Jelajah Akhir Dunia ini, ia akan menjadi pengalaman yang bagus untuk kami.

"Mengenai undian, saya tahu kami akan berdepan cabaran yang sukar, setiap perlawanan pastinya sukar. Namun, kami tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri sebaliknya cuba untuk mempamerkan prestasi kami," kata Thinaah.

Bagi saingan beregu campuran, dua wakil negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying diundi dalam Kumpulan A bersama pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dan Mathias Christiansen-Alexandra Boje (Denmark).

Berita Harian X