Isnin, 29 November 2021 | 6:30pm
Zii Jia layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali bermula Rabu ini.
Zii Jia layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali bermula Rabu ini.

Zii Jia ketuai cabaran buru hadiah RM6.36 juta

KUALA LUMPUR: Enam wakil negara layak beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF yang berlangsung di Bali, Indonesia bermula Rabu ini.

Cabaran negara akan diketuai pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menamatkan pemburuan tempat ke kejohanan akhir musim itu di kedudukan kedua ranking Jelajah Dunia di belakang bintang Denmark, Viktor Axelsen.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua juara Seluruh England 2021 itu layak beraksi dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$1.5 juta (RM6.36 juta) itu selepas kali pertama pada edisi 2020.

Turut mengiringi Zii Jia adalah beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah selain dua beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Menurut peraturan ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), maksimum dua pemain atau beregu dari negara yang sama layak beraksi dalam kejohanan berkenaan.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata pihaknya sudah pun menerima jemputan daripada BWF, semalam untuk beraksi dalam kejohanan berkenaan.

Undian bagi saingan Jelajah Dunia Akhir dijadual berlangsung di Bali, esok.

Berita Harian X