Isnin, 29 November 2021 | 9:26am
Pemain Malaysia, Aifa Azman (kanan) ketika beraksi menentang pemain Mesir, Salma Hany pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, pada hujung minggu lalu. Malaysia akan menjdi menganjurkan Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia Ke-20 bermula esok. - Foto BERNAMA.
Pemain Malaysia, Aifa Azman (kanan) ketika beraksi menentang pemain Mesir, Salma Hany pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, pada hujung minggu lalu. Malaysia akan menjdi menganjurkan Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia Ke-20 bermula esok. - Foto BERNAMA.

SRAM lega dapat anjur kejohanan skuasy berpasukan Asia

KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) lega dan bangga kerana dapat menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia Ke-20 di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini dari 30 November hingga 4 Disember ini.

Ini adalah penganjuran kejohanan kedua oleh SRAM selepas Terbuka Malaysia yang berakhir kelmarin dan Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia menyusul dari dari 7 hingga 12 Disember ini.

Pengarah SRAM, Mejar (B) S Maniam berkata terdapat sedikit keterujaan untuk acara skuasy berpasukan antarabangsa selepas sejak sekian lama dengan 12 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita mengesahkan penyertaan walaupun ia tidak berjalan begitu lancar ketika melakukan persediaan untuk acara ini.

"Adalah amat sukar untuk cuba menganjurkan pertandingan ini. Daripada mendapatkan kelulusan kerajaan dan memastikan pasukan-pasukan mendapat pas MyTravel dan visa.

… dan kemudian terdapat juga keperluan kuarantin tetapi saya percaya kami sudah berjaya 'menunggang ombak' dan kami amat gembira untuk menerima sokongan daripada semua orang," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pertandingan berpasukan itu sepatutnya berlangsung tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.

Bagi kategori lelaki, pilihan nombor satu, India diundi bersama Pakistan, Jepun, Filipina, Iraq dan Indonesia dalam Kumpulan A sementara Malaysia diundi bersama Hong Kong, Iran, Korea Selatan, Singapura dan Sri Lanka di dalam Kumpulan B.

Malaysia yang akan mengetengahkan pemain nombor 18 dunia, Ng Eain Yow, Ivan Yuen, Addeen Idrakie dan Mohd Syafiq Kamal merupakan pasukan pilihan kedua sementara juara bertahan Hong Kong adalah pilihan ketiga dan juara 15 kali Pakistan, pilihan keempat.

Untuk kategori wanita, juara bertahan Hong Kong merupakan pilihan pertama dan dalam Kumpulan A bersama Jepun, Korea Selatan dan Sri Lanka sementara Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama India, Iran dan Filipina.

Skuad muda Malaysia diketuai gandingan Rachel Arnorld dan Juara Terbuka Malaysia Aifa Azman dengan Chan Yiwen bergandingan dengan Noor Ainaa Amani Ampandi .

"Malaysia merupakan pilihan kedua untuk kedua-dua acara lelaki dan wanita dan sasaran kami ialah untuk mara ke final kedua-dua acara. Dengan prestasi daripada pasukan wanita, kami sudah pasti mengharapkan berlaku kejutan dan mereka membawa pulang kejuaraan kali ini," kata Maniam.

Pasukan kebangsaan lelaki adalah juara tiga kali dan kali terakhir mereka melakukannya pada 2008 dan pasukan wanita memegang rekod sembilan kali menjadi juara dan kali terakhir mereka membawanya pulang ialah pada 2016.

- BERNAMA

Berita Harian X