Ahad, 28 November 2021 | 11:21am
Pemain negara, Aifa Azman meraikan kejayaan menjuarai skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto BERNAMA.
Pemain negara, Aifa Azman meraikan kejayaan menjuarai skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto BERNAMA.

Selepas raih Terbuka Malaysia, Aifa tumpu Berpasukan Asia

KUALA LUMPUR: Juara kejohanan skuasy Terbuka Malaysia, Aifa Azman mahu mengekalkan momentumnya pada saingan Berpasukan Asia yang dijadual berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil dari 30 November hingga 4 Disember ini.

Aifa yang melakar kejutan menewaskan pilihan utama dari Mesir, Salma Hany 12-10, 11-8, 11-4 di pentas final semalam dijadual menghadapi cabaran seterusnya bersama Rachel Arnold, Chan Yiwen dan Ainaa Amani.

"Itu (Berpasukan Asia) adalah kejohanan saya seterusnya dan satu lagi kejohanan di Pakistan selepas itu," kata Aifa yang meraih gelaran terbesar dalam kariernya pada saingan Terbuka Malaysia.

"Saya gembira kerana dapat melakukan yang terbaik pada minggu ini. Saya harap dapat kekalkan prestasi ini dan terus berusaha lebih gigih lagi. Kami perlu kekal fokus dan menyokong antara satu sama lain."

Kejayaan Aifa di Terbuka Malaysia secara tidak langsung menyaksikan dirinya muncul selaku pemain Malaysia ketiga selepas Datuk Nicol David dan Low Wee Wern mengecapi kejayaan di peringkat Jelajah Dunia.

Malah kemenangan ke atas Salma itu turut mengejutkan ramai pihak apatah lagi dirinya memasuki kejohanan bernilai AS$50,000 (RM211,950) itu dengan memegang status wild card.

"Saya sudah berlatih gigih untuk kejohanan seperti ini," kata pemain berusia 19 tahun yang berada di ranking ke-69 dunia itu bagi merangkumkan prestasinya pada minggu ini.

"Saya hanya mahu mencapai lebih banyak kejayaan lagi dan ini adalah langkah pertama. Di kejohanan ini, saya meraih banyak pengalaman dan saya memerlukan lebih lagi pendedahan seperti ini di masa depan.

"Saya mahu menaikkan lagi ranking saya. Disebabkan COVID-19, sukar untuk saya mengekalkan ranking. Ranking saya banyak menurun pada bulan lalu. Dengan kemenangan ini, saya berharap dapat berada dalam kelompok 15 terbaik sekali lagi nanti," katanya.

Berita Harian X