KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman terus mencipta kisah dongeng di Terbuka Malaysia apabila mara ke pentas final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Malah, pemain ranking ke-69 dunia itu yang layak beraksi atas tiket wild card layak digelar 'pembunuh gergasi' selepas membenam beberapa pemain pilihan dalam laluannya ke final.
Pada aksi separuh akhir sebentar tadi, Aifa menyingkirkan pula pemain ranking ke-19 dunia yang juga pilihan kelima kejohanan dari Kanada, Danielle Letourneau 11-4, 11-7, 5-11, 11-3.
"Saya tak tahu apa yang perlu dikatakan kerana saya mara ke final," kata pemain kelahiran Kedah itu.
"Ini kerana sebelum ini saya memberitahu ibu saya kejohanan bernilai RM209,00 ini sukar untuk saya melangkah ke final kerana dia sering menyaksikan saya di final.
"Namun, saya gembira kerana ini adalah kejohanan terbesar yang saya mara ke final dan amat menantikan sesuatu yang lebih baik lagi esok."
Aifa berkata, dia sebenarnya tidak menyangka dapat melangkah sejauh ini sehingga ke final.
"Sebelum undian keluar, saya tak jangka boleh beraksi di final tetapi selepas undian keluar, saya rasa ada peluang yang besar untuk saya menang dan saya ambil langkah demi langkah dan fokus perlawanan secara satu demi satu.
"Untuk final nanti, saya akan memberikan yang terbaik. Saya sudah berada di final dan saya tak rasa tekanan itu terletak kepada saya dan saya saya gembira," katanya.
Aifa akan menentang pemain pilihan utama, Salma Hany pada aksi final esok selepas pemain Mesir itu menewaskan Hollie Naughton dari Kanada, 11-1, 11-8, 11-5.