Khamis, 25 November 2021 | 6:04pm
Aksi Aifa (depan) ketika menentang Hana Ramadan.
Aksi Aifa (depan) ketika menentang Hana Ramadan.

Aifa terus cipta kisah dongeng

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman mengakui puas apabila berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia.

Terdahulu, bintang muda berusia 19 tahun itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan pemain Mesir, Hana Ramadan 3-0 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Aifa yang menghuni ranking ke-69 dunia, berkata dia berpuas hati dengan prestasinya biarpun diberi tentangan sengit oleh lawan sebelum menang 11-9, 11-9, 11-5 dalam tempoh 26 minit.

"Saya sangat gembira kerana menang 3-0 selepas saya mengharungi satu perlawanan sengit menewaskan pilihan ketiga semalam," katanya selepas tamat perlawanan.

Susulan kejayaan ke separuh akhir, Aifa yang akan berdepan pemain Kanada, Danielle Letournea, esok tekad untuk melakar kemenangan sekali gus mara ke pentas final.

"Perancangan saya untuk separuh akhir esok adalah menang. Saya akan merangka strategi permainan terbaik dengan jurulatih kerana saya mahu melangkah ke pentas final.

"Saya akan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok kerana lawan saya juga menunjukkan peningkatan ketara dan dia sekarang sudah berada dalam kelompok 20 terbaik dunia," kata Aifa. Letournea mara ke separuh akhir selepas menewaskan seorang lagi wakil Mesir, Nadine Shahin 9-11, 14-12, 8-11, 11-8, 11-4.

Berita Harian X