Rabu, 24 November 2021 | 7:59pm
Aksi Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen ketika berentap dengan beregu Denmark, Alexandra Boje-Mette Poulsen dalam saingan Terbuka Indonesia, hari ini. - Foto ihsan Facebook BAM.
Aksi Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen ketika berentap dengan beregu Denmark, Alexandra Boje-Mette Poulsen dalam saingan Terbuka Indonesia, hari ini. - Foto ihsan Facebook BAM.

Kekalahan saingan Masters jadi iktibar mara Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen mengakui kejayaan mengatasi kelemahan pada diri sendiri menjadi faktor utama membantu mereka mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia yang berlangsung di Bali.

Terdahulu, pasangan yang dalam proses 'eksperimen' itu dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi pasangan Denmark, Alexandra Boje-Mette Poulsen dalam pertarungan tiga set dengan keputusan 21-12, 19-21, 26-24, hari ini.

Meng Yean berkata mereka mengambil iktibar daripada kekalahan pusingan pertama Masters Indonesia di tangan pasangan Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau, minggu lalu dengan mengubah strategi permainan dan tidak mengulangi kesilapan sama apabila berdepan beregu dari Eropah yang memiliki saiz fizikal tinggi.

"Kelemahan kami adalah kami tidak mempunyai kekuatan dan apabila berdepan pasangan Eropah yang tinggi, mereka sering memukul bola (bulu tangkis) ke garisan belakang.

"Kami pula tidak mampu untuk membalas semula pukulan itu ke belakang dan itu membuatkan mereka mempunyai peluang melakukan serangan ke atas kami.

"Namun, kami berjaya mengatasinya dalam perlawanan hari ini dan fokus sepenuhnya dengan strategi permainan yang dirancang," kata Meng Yean.

Meng Yean-Cheng Wen akan bertemu pemenang perlawanan antara pasangan India, Ashwini Ponappa-Reddy N Sikki dengan pilihan kelima dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Berita Harian X