Rabu, 24 November 2021 | 6:19pm
Aksi Aifa (kiri) ketika berdepan Yathreb pada pusingan kedua Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Aksi Aifa (kiri) ketika berdepan Yathreb pada pusingan kedua Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Aifa cipta sensasi skuasy Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Aifa Azman mencipta sensasi apabila menumbangkan pilihan ketiga kejohanan dari Mesir, Yathreb Adel untuk mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan skuasy Terbuka Malaysia, hari ini.

Pemain berusia 19 tahun itu yang menghuni ranking ke-69 dunia membuktikan dia tidak gentar berdepan lawan yang memiliki kedudukan ranking lebih tinggi apabila melakar kemenangan 11-3,9-11,8-11,11-4,11-7 dalam aksi pusingan kedua di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Sebagai rekod, Yathreb, 25, adalah pemain yang berada di kedudukan ranking ke-31 dunia.

Kemenangan menyaksikan Aifa akan bertemu seorang lagi pemain Mesir, Hana Ramdan bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Mengulas mengenai aksi bertemu Yathreb itu, Aifa, berkata keputusan untuk menukar strategi permainan pada set keempat perlawanan berjaya memerangkap lawan sekali gus membolehkan dia melakar kemenangan.

Katanya, fokus kini adalah bagi pertemuan menentang Hana yang permainannya semakin meningkat selain turut berjaya menewaskan pemain yang berada di kedudukan ranking lebih baik.

"Saya sangat gembira dengan persembahan pada hari ini dan akan berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik pada suku akhir.

"Hana pemain yang semakin meningkat dan saya pernah lihat dia bermain sekali gus menjangkakan perlawanan akan berlangsung sengit esok," katanya.

Berita Harian X