Selasa, 23 November 2021 | 8:17pm
Gambar fail - Bintang muda negara, Aifa Azman (kanan) dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto BERNAMA.
Gambar fail - Bintang muda negara, Aifa Azman (kanan) dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto BERNAMA.

Aifa cemerlang mara pusingan kedua skuasy Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Aifa Azman beraksi cemerlang untuk mara ke pusingan kedua kejohanan skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pemain berusia 19 tahun itu mencipta kejutan apabila menyingkirkan pemain ranking ke-47 dunia, Mayar Hany dari Mesir 11-8, 11-3, 11-5 dalam aksi pusingan pertama.

Aifa yang berada di kedudukan ranking ke-69 dunia mempamerkan prestasi menakjubkan apabila mendominasi perlawanan sejak dari awal.

"Saya agak gementar pada set pertama kerana Mayar berada di kedudukan ranking yang lebih tinggi.

"Namun, saya sedar perlu mendapatkan rentak permainan dan apabila saya berjaya melakukannya, saya hanya kekalkan momentum dan intensiti untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-0.

"Bagi saya, sasaran adalah untuk mencipta kejutan menewaskan pemain di ranking yang lebih tinggi dan saya berjaya melakukanya dari awal," kata Aifa.

Aifa akan bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Mesir, Yathreb Adel bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Sementara itu, pemain wanita nombor dua negara, Rachel Arnold turut mara selepas menewaskan pemain Hong Kong, Tong Tsz Wing 11-2, 5-11, 11-9, 11-5.

Pemain yang menghuni ranking ke-43 dunia itu akan berdepan Donna Lobban dari Australia pada aksi pusingan kedua.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Chan Yiwen dan Ooi Kah Yan apabila terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Dalam kategori lelaki, tiga pemain negara, Syafiq Kamal, Addeen Idrakie dan Darren Rahul Pragasam menunjukkan semangat juang tinggi sebelum tunduk kepada lawan masing-masing.

Syafiq tewas kepada 7-11, 11-6, 9-11, 11-3 kepada pemain Sepanyol, Bernat Jaume manakala Addeen tunduk 9-11, 9-11, 11-6, 4-11 ditangan Yip Tsz Fung dari Hong Kong.

Darren yang membuat penampilan pada Terbuka Malaysia kali ini tewas 11-9, 3-11, 5-11, 2-11 tewas ditangan pemain ranking ke-41 dunia, Ramit Tandon dari India.

Pemain lelaki nombor dua negara, Ivan Yuen bagaimanapun berjaya mengesahkan tiket ke pusingan kedua selepas mengatasi rakan senegara, Ong Sai Hung 7-11, 11-5, 11-8, 11-3 dan bertemu pemain nombor satu negara, Ng Eain Yow yang mendapat bye di pusingan pertama.

Berita Harian X