Selasa, 23 November 2021 | 4:51pm
Aksi pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia pada Terbuka Indonesia saingan pusingan pertama menentang pemain Denmark, Rasmus Gemke di Bali. - Foto ihsan Facebook BAM.
Aksi pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia pada Terbuka Indonesia saingan pusingan pertama menentang pemain Denmark, Rasmus Gemke di Bali. - Foto ihsan Facebook BAM.

Zii Jia tersingkir pusingan pertama Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia masih bergelut untuk mencari rentak permainan sebenarnya apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Terbuka Indonesia di Bali, hari ini.

Pilihan ketujuh kejohanan itu terpaksa akur apabila tewas di tangan pemain Denmark, Rasmus Gemke 21-13, 23-25, 16-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 67 minit.

Minggu lalu, Zii Jia memberi kemenangan percuma kepada Gemke apabila dia menarik diri ketika ketinggalan 9-11 di set pertama dalam pusingan pertama Masters Indonesia selepas dilaporkan masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan pinggang dialaminya sebelum itu.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan bagaimanapun, berkata kekalahan hari ini tiada kaitan dengan kecederaan dialami pemain berusia 23 tahun itu kerana dia sudah pun pulih sepenuhnya.

"Kita harus akui pihak lawan (Gemke) bermain lebih baik hari ini. Apa yang penting tidak ada kecederaan pinggang, semuanya sudah okey.

"Kita akan cuba lagi membuat yang terbaik jika beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF minggu depan," kata Hendrawan kepada BH Sukan.

Zii Jia yang menghuni ranking nombor tujuh dunia mula dihantui masalah kecederaan pinggang ketika aksi final Terbuka Hylo di Jerman, awal bulan ini yang menyaksikan dia menarik diri ketika set ketiga bertemu pemain Singapura, Loh Kean Yew.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mengesahkan tiket ke pusingan kedua selepas mengatasi pasangan Perancis, Christo Popov-Tomo Junior Popov 22-20, 21-10.

Bagaimanapun, mereka berdepan laluan sukar untuk memburu tiket ke suku akhir apabila dijadual menentang pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin untuk aksi pusingan kedua.

Lee Yang-Chi Lin mara selepas menewaskan pasangan profesional negara, Goh V Shem-Low Juan Shen 21-14, 21-16.

Dalam saingan beregu wanita, pasangan muda negara, Pearly Tan-M Thinaah bermula langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Sepanyol, Clara Azurmendi-Beatriz Corrales 22-20, 21-19 dan akan bertemu pemenang perlawanan antara dua beregu Indonesia, Nita Violina Marwah-Putri Syaikah dengan Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi bagi memburu tiket ke suku akhir.

Turut mara, beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 22-20, 21-17.

Berita Harian X