KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah enggan terlalu memikirkan mengenai peluang layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF biarpun mereka ketika ini berada di kedudukan selesa bagi membuat penampilan pertama dalam kejohanan akhir musim itu.
Sebaliknya, pasangan berkenaan mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap saingan Terbuka Indonesia di Bali bermula esok.
Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kelapan akan membuka tirai saingan bertemu beregu Sepanyol, Clara Azurmendi-Beatriz Corrales pada aksi pusingan pertama.
Thinaah, 23, berkata mereka tidak mahu memberi tekanan berlebihan kepada diri sendiri selain mengambil pendekatan ia adalah bonus jika mereka layak beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir turut akan berlangsung di Bali bulan depan.
"Sebenarnya, kami tidak mahu fikir banyak pasal itu (peluang layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir), sebaliknya kami mahu mempamerkan prestasi terbaik dalam kejohanan seterusnya (Terbuka Indonesia).
"Kalau dapat layak ke Jelajah Dunia Akhir, ia adalah pencapaian yang besar buat kami. Namun, kami mahu beri tumpuan sepenuhnya dalam Terbuka Indonesia dan fokus satu demi satu perlawanan dan berharap dapat mempamerkan prestasi terbaik kami," kata Thinaah.
Ketika ini, pasangan muda negara itu berada di ranking kelapan Jelajah Dunia dan kedudukan mereka dijangka melonjak ke tangga keempat susulan pencapaian mara ke suku akhir Masters Indonesia, Jumaat lalu.
Sekiranya berjaya menyamai pencapaian berkenaan di Terbuka Indonesia, Pearly-Thinaah akan mengesahkan tiket ke kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.23 juta) itu menjadi milik mereka.
Hanya lapan pasangan terbaik dalam kedudukan ranking Jelajah Dunia layak beraksi dalam kejohanan berprestij itu.
Ketika saingan Masters Indonesia, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking ke-18 dunia tewas di tangan pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 14-21, 15-21 dalam aksi suku akhir.
Thinaah, berkata ia bukanlah keputusan yang diharapkan tetapi menegaskan mereka sudah melakukan yang terbaik.
"Masih banyak yang perlu kami perbaiki dalam permainan kami terutama daripada melakukan kesilapan mudah.
"Jadi, fokus utama kami di Terbuka Indonesia adalah kurangkan kesilapan dan bermain lebih agresif. Apa pun, kami jadikan apa yang berlaku di Masters Indonesia sebagai pengajaran dan akan kembali bangkit di Terbuka Indonesia," katanya.