Sabtu, 20 November 2021 | 1:47pm
Addeen (depan) mendapat tiket wild card beraksi di Terbuka Malaysia.
Addeen (depan) mendapat tiket wild card beraksi di Terbuka Malaysia.

Addeen tekad gegar Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara, Addeen Idrakie sudah bersedia untuk memulakan cabaran pada saingan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung dari 23 hingga 27 November ini.

Pemain kelahiran Selangor itu mempamerkan peningkatan prestasi yang positif selepas mendapat pendedahan latihan dan kejohanan selama tiga bulan di Amerika Syarikat, awal tahun ini.

Dia berjaya mara ke separuh akhir kejohanan SRAM PSA 6 sebelum tewas di tangan rakan senegara, Syafiq Kamal.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu berjaya menebus kekalahan di tangan Syafiq ketika saingan SRAM PSA 7 yang menyaksikan dia melangkah ke final sebelum tewas kepada pemain nombor dua negara, Ivan Yuen.

Dengan keputusan itu, ia meletakkan Addeen di landasan tepat untuk mencetuskan impak dalam saingan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

"Sudah pasti saya berasa sedikit gementar kerana Terbuka Malaysia adalah kejohanan besar dan sudah lama tidak ada kejohanan besar seperti ini.

"Bagaimanapun, dua kejohanan terakhir yang saya sertai meningkatkan lagi motivasi saya dan saya hanya perlu membuat persiapan dari aspek mental," kata Addeen.

Pemain ranking ke-104 dunia itu yang diberikan slot wild card untuk beraksi di Terbuka Malaysia kali ini berdepan laluan mencabar apabila dijadual bertemu pemain ke-54 dunia, Yip Tsz Fung dari Hong Kong pada aksi pusingan pertama.

"Saya perlu benar-benar bersedia kerana Tsz Fung adalah pemain yang sangat baik dan saya mahu buktikan yang saya layak menerima wild card," katanya.

Selain Addeen, empat lagi wakil negara akan beraksi iaitu Ng Eain Yow, Ivan, Syafiq dan Darren Rahul Pragasam.

Berita Harian X