Ahad, 17 Oktober 2021 | 11:46pm
epa09528511 Indonesia's Fajar Alfian (L) and Muhammad Rian Ardianto (R) in action during a doubles match in the badminton Thomas Cup final tie between China and Indonesia, in Aarhus, Denmark, 17 October 2021. EPA/Claus Fisker DENMARK OUT
epa09528511 Indonesia's Fajar Alfian (L) and Muhammad Rian Ardianto (R) in action during a doubles match in the badminton Thomas Cup final tie between China and Indonesia, in Aarhus, Denmark, 17 October 2021. EPA/Claus Fisker DENMARK OUT

PIALA THOMAS: Kemarau 19 tahun Indonesia berakhir

KUALA LUMPUR: Indonesia mengakhiri kemarau hampir dua dekad apabila menjulang Piala Thomas dengan menjinakkan juara bertahan, China 3-0 pada aksi final di Aarhus, Denmark sebentar tadi.

Kejayaan Indonesia membolehkan pasukan yang paling berjaya dalam sejarah kejohanan itu, melebarkan rekod kejuaraan buat kali ke-14, dengan China kekal kedua dengan 10 kemenangan.

Selepas kali terakhir menjulang trofi itu dengan menewaskan Malaysia 3-2 di Guangzhou, China pada 2002, Indonesia jelas tidak mensia-siakan peluang kali ini selepas gagal pada final 2010 dan 2016.

Perseorangan pertamanya, Anthony Sinisuka Ginting membakar semangat pasukan apabila bangkit daripada kekalahan set pertama dengan menundukkan Lu Guang Zu 18-21, 21-14, 21-16.

Ia adalah kemenangan ketiga buat pemain kelima dunia itu ke atas lawan yang menduduki ranking ke-27 berkenaan dalam saingan selama 1 jam 17 minit.

Percaturan Indonesia menyenaraikan gandingan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto sebagai beregu pertama dengan merehatkan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideo-Kevin Sanjaya Sukamuljo turut menjadi.

Pasangan nombor tujuh dunia itu menepati ramalan menundukkan beregu yang berada di ranking 1,159 dunia, He Ji Ting-Zhou Hao Dong 21-12, 21-19.

Ketika jangkaan Jonatan Christie mudah membutirkan mata kemenangan buat Indonesia, sebaliknya berlaku apabila pemain ketujuh dunia itu diheret ke set penentuan sebelum menundukkan Li Shi Feng yang menduduki ranking ke-65 dunia, 21-14, 18-21, 21-14 dalam aksi selama 1 jam 22 minit.

Berita Harian X